SYED Muhammad Syah Hasif bersama isterinya. FOTO Ihsan Syed Muhammad Syah Hasif Syed Othman
SYED Muhammad Syah Hasif bersama isterinya. FOTO Ihsan Syed Muhammad Syah Hasif Syed Othman
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Pempengaruh dan usahawan, Syed Muhammad Syah Hasif Syed Othman menerima teguran disampaikan oleh Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor terhadapnya dengan lapang dada susulan pemberian hadiah telekung RM12,000 kepada isterinya, Fatin Syazwani Ishak.

Syed Muhammad Syah Hasif, 32, berkata, dia tidak tersinggung jauh sekali berkecil hati sebaliknya mengambil positif teguran itu kerana ia datangnya daripada ahli agama yang disegani ramai.

"Selama ini kita melihat mufti beri teguran kepada rakan artis dan orang lain, tak sangka kita pun terkena sekali jadi terkejutlah juga.

"Tapi saya hargai teguran itu kerana anggap ia membina untuk kita sentiasa beringat supaya jangan ada penyakit hati, riak dan meninggi diri.

"Saya akan cuba perbaiki diri, jauhi sifat riak dan bangga diri kerana tak nak kena jawab di alam sana (akhirat) nanti," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Syed Muhammad Syah Hasif, apa yang dimuat naik di TikTok sebelum ini sekadar perkongsian sebahagian kehidupan seharian untuk disimpan sebagai kenangan.

Bapa dua anak itu juga tidak menyangka apa dimuat naiknya tular hingga mendapat banyak reaksi positif.

"Apa saya kongsikan selama ini adalah sekadar nak tunjukkan bagaimana membina rumah tangga harmoni dan kongsi dengan orang di luar sana bagaimana caranya untuk menghargai pasangan.

"Pemberian hadiah telekung itu pun bukannya buat dengan niat untuk menunjuk tapi menghargai isteri cuma saya faham, lain orang, lain pandangannya.

"Bagi saya, semua orang boleh beri hadiah kepada pasangan ikut kemampuan dan tak semestinya mahal.

"Isteri pun faham dan tak rasa saya cuba untuk riak kerana sudah mengenali saya malah dia pun sampai sayang nak pakai telekung pemberian saya tempoh hari," katanya yang mencari rezeki dengan menjual laksa di Bazar Festival Raya Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sepanjang Ramadan ini.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan kisah Syed Muhammad Syah Hasif yang sanggup membelanjakan RM12,000 untuk menghasilkan telekung bertatahkan 5,000 batu kristal Swarovski.

Lebih istimewa, Syed Muhammad Shah menjahit sendiri telekung berkenaan daripada awal hingga akhir.

Kisah itu mendapat perhatian selepas Syed Muhammad Shah Hasif memuat naik video di akaun TikTok miliknya menunjukkannya menjahit dan memberi kejutan buat isterinya , Fatin Syazwani Ishak, 26.

Perkongsian itu juga mendapat perhatian Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor yang mengingatkan supaya menjaga kualiti ibadat dan tidak mensia-siakanya dengan perasaan riak yang boleh menghilangkan pahala ibadat.

Menurut beliau, Allah SWT tidak menilai hamba-Nya berdasarkan rupa paras, pangkat kebesaran atau pakaian yang menghiasi dirinya, tetapi ketakwaan dan komitmen terhadap segala yang diperintahkan.

Tambah Wan Salim bersikap riak dan menonjol keistimewaan diri kepada orang lain sejenis penyakit hati yang perlu dirawat segera.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mac 2024 @ 9:54 PM