Redzuan Muharam


Klang: Demi menggembirakan insan tercinta, seorang suami, Syed Muhammad Shah Hasif Syed Othman sanggup menjahit 30 pasang baju raya untuk dipakai isterinya sepanjang Syawal nanti.

Syed Muhammad Shah Hasif, 29, atau mesra disapa Syed dari Seri Alam, di sini berkata, rutin itu dilakukan sejak tahun pertama mendirikan rumah tangga lagi.

Menurut Syed, isterinya, Fatin Syazwani Ishak, 23 tidak pernah meminta namun dia sendiri yang mahu menjahit baju raya berkenaan.

"Ini tahun ketiga saya menjahit baju raya buat isteri dan saya lakukannya kerana gemar menjahit.

"Malah, saya turut menjahit pakaian untuk dipakai isteri sewaktu majlis pertunangan dan perkahwinan kami, tiga tahun lalu.

"Isteri tidak cerewet, dia terima saja dan mengakui seronok kerana dapat menggayakan baju raya hasil kerja tangan saya," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Syed berkata, dia membuat persiapan enam bulan lebih awal untuk menghasilkan semua baju berkenaan.

SYED menjahit 30 pasang baju raya untuk dipakai isterinya sepanjang Syawal nanti. FOTO ihsan Syed Muhammad Shah Hasif Syed Othman.
SYED menjahit 30 pasang baju raya untuk dipakai isterinya sepanjang Syawal nanti. FOTO ihsan Syed Muhammad Shah Hasif Syed Othman.

Katanya, kerja menyiapkan baju itu dilakukannya sendiri tanpa bantuan sesiapa dan lazimnya ia siap sebelum Ramadan.

"Enam bulan sebelum hari raya, saya akan membeli kain untuk digunakan bagi menjahit baju.

"Bila ada kelapangan, saya akan menjahit baju berkenaan supaya semua 30 pasang baju siap awal dan dapat digayakan isteri sepanjang Syawal," katanya yang mempunyai seorang cahaya mata berusia dua tahun diberi nama Syed Muhammad Nouie Jaeden El-Alawi.

Syed berkata, dia tidak berasa apa yang dilakukannya itu satu pembaziran, sebaliknya mahu baju itu menjadi kenangan buat isterinya seandainya dia tiada suatu hari nanti.

Menurutnya, dia tidak hanya menjahit baju untuk dipakai isterinya ketika hari raya saja.

"Ini kerana saya ada hasilkan baju untuk dipakai isteri ke majlis kenduri dan lain-lain lagi.

"Ini cara saya menghargai dan memberi kegembiraan buat isteri dan Syawal tetap perlu diraikan walaupun dalam tempoh pandemik Covid-19.

"Saya pernah pakai baju raya sama selama lapan tahun ketika zaman bujang dulu, jadi saya tidak mahu isteri dan anak melalui pengalaman sama," katanya yang turut menghasilkan baju raya buat anaknya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Mei 2021 @ 8:30 PM