KEADAAN motosikal Yamaha Lagenda dan kereta Suzuki Swift yang terbabit kemalangan berhadapan sebuah stesen minyak di Kilometer 36 Jalan Klang-Teluk Intan, Tebuk Pulai. FOTO Tular
KEADAAN motosikal Yamaha Lagenda dan kereta Suzuki Swift yang terbabit kemalangan berhadapan sebuah stesen minyak di Kilometer 36 Jalan Klang-Teluk Intan, Tebuk Pulai. FOTO Tular
Amirul Aiman Hamsuddin

Sabak Bernam: Hasrat dua individu untuk menghantar motosikal rosak ke bengkel bertukar tragedi apabila seorang daripadanya maut dalam kemalangan di Kilometer 36 Jalan Klang-Teluk Intan, Tebuk Pulai, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, kejadian kira-kira 8 malam itu berlaku ketika mangsa termasuk remaja dalam perjalanan dari Taman Pertama ke bengkel motosikal di Batu 38 Sabak Bernam.

Katanya, mangsa yang maut adalah lelaki berusia 31 tahun.

"Siasatan awal mendapati motosikal Yamaha Lagenda milik mangsa mengalami kerosakan dan ditunda remaja lelaki berusia 16 tahun yang menunggang Modenas Kriss.

"Setibanya di lokasi, kedua-dua penunggang itu disyaki keluar simpang secara tiba-tiba dan terus memasuki lorong kanan.

"Pada masa sama, kereta Suzuki Swift dipandu lelaki berusia 35 tahun dari arah pekan Sabak Bernam ke Sungai Besar gagal mengelak lalu melanggar penunggang Yamaha Lagenda," katanya ketika dihubungi hari ini.

Agus Salim berkata, penunggang Modenas Kriss cedera di kaki kanan dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) untuk rawatan.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mac 2024 @ 10:18 AM