SAIFUDDIN Nasution membacakan warkah perasmian pada majlis penyerahan watikah pelantikan JPKKP Kedah 2024. FOTO Bernama
SAIFUDDIN Nasution membacakan warkah perasmian pada majlis penyerahan watikah pelantikan JPKKP Kedah 2024. FOTO Bernama
M Hifzuddin Ikhsan


Alor Setar: Sejumlah 80 peratus warga asing yang ditahan pihak berkuasa di seluruh negara didapati mempunyai dokumen perjalanan dan permit kerja sah, manakala hanya 20 peratus bakinya dikesan melanggar undang-undang.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, hanya warga asing yang gagal mengemukakan dokumen sah akan dihantar ke Depoh Tahanan Sementara di seluruh negara dan mereka perlu berhadapan proses perundangan termasuk pendakwaan.

Katanya, pada masa sama warga asing yang ditahan di depoh akan dihantar pulang ke negara masing-masing mengikut jadual ditetapkan bagi mengelak berlakunya masalah kesesakan di pusat tahanan terbabit.

"Kalau kita tahan, mereka langsung tak ada dokumen perjalanan, yang itu kita letak di depoh. Kalau kita tahan, dia ada pas tapi pas dah mati, tamat tempoh, kita hantar ke depoh. Bagi setiap serbuan kita buat setakat ini, setiap 10 warga asing yang ditahan dalam siri serbuan, 80 peratus punya dokumen sah.

"Hanya 20 peratus sahaja tidak mempunyai dokumen atau terlebih tinggal atau kesalahan lain mengikut Akta Imigresen. Jadi mengikut kedudukan sekarang, jumlah serbuan banyak, tapi bila kita proses mereka yang ditahan, benar mereka warga asing tetapi ada dokumen sah, maka kita tak tahan.

"Warga asing yang menyalahi, yang itu kita proses seterusnya sama ada kita buka kertas siasatan atau kita kenakan kompaun," katanya pada sidang media di sini, hari.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKKP) Kedah di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Anak Bukit di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Pengerusi DAP Kedah, Tan Kok Yew dan Pengerusi Amanah Kedah, Mohd Asmirul Anuar Aris.

Mengulas lanjut, Saifuddin menegaskan semua 19 Depoh Tahanan Sementara di seluruh negara tidak mengalami masalah kesesakan kerana proses penghantaran balik pendatang asing tanpa izin (PATI) sentiasa dilakukan dari semasa ke semasa.

Katanya, masalah kesesakan depoh hanya berlaku ketika pandemik Covid-19 melanda negara kerana tiada proses penghantaran balik Pati dapat dilakukan.

"Satu-satunya keadaan di mana depoh mengalami kesesakan adalah dalam masa Covid-19 tempoh hari, sebab kita tak boleh hantar mereka balik. Sekarang jumlah depoh ada 19, jumlah penghuninya 13,000 orang, jadi tak ada sesak.

"Betul operasi pihak berkuasa dibuat saban waktu dan bila operasi dibuat, kita memeriksa setiap warga asing yang kita tahan itu, kalau mereka ada pas lawatan dan kerja yang sah pada masa ditahan di lokasi serbuan, kita lepaskan.

"Kita kena semak pas lawatan kerja, ada di sektor pembinaan, sektor perladangan, sektor pembuatan dan sebagainya yang dipegang warga asing itu, kalau sah kita lepaskan sebab dia datang bekerja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2024 @ 2:07 PM