GELAGAT wanita warga Thailand menyembunyikan diri bagi mengelak ditahan pihak berkuasa. FOTO Ihsan JIM
GELAGAT wanita warga Thailand menyembunyikan diri bagi mengelak ditahan pihak berkuasa. FOTO Ihsan JIM
Nordiana Shafiee


BERSEMBUNYI di sebalik pokok pisang, dalam semak-samun dan ada juga menyorok di bawah penyidai baju.

Itu antara tindakan diambil 11 warga Thailand yang bertempiaran lari bagi mengelak dicekup anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam Op Mega 2.0, semalam.

Bagaimanapun, cubaan mereka gagal apabila ditahan dalam operasi oleh sepasukan 15 anggota JIM Kedah di tiga restoran ala Thai di Kuala Nerang, Pokok Sena dan Jalan Langgar, Alor Setar bermula 10.30 malam.

Pengarah JIM Kedah Zuhair Jamaludin berkata, seramai 29 warga asing termasuk tempatan diperiksa sebelum tiga lelaki dan lapan wanita warga Thailand diberkas.

Menurutnya dalam serbuan di Kuala Nerang, pihaknya menahan seorang lelaki dan dua wanita, diikuti tangkapan dua lelaki dan dua wanita di Pokok Sena, manakala seramai seorang lelaki dan tiga wanita ditahan di Jalan Langgar.

Katanya, ketika serbuan di tiga lokasi berkenaan, semua pekerja Thailand berusia antara 12 hingga 40 tahun bertindak melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggotanya.

“Kami terpaksa mengejar hampir 100 meter sebelum berjaya menahan mereka untuk pemeriksaan.

“Siasatan awal mendapati enam daripadanya melakukan kesalahan melanggar syarat pas, tidak memiliki sebarang pas atau dokumen perjalanan sah (4) dan seorang lagi dipercayai memberi perlindungan kepada warga asing yang melakukan kesalahan imigresen,” kata dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, kesemua warga asing itu disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 56(1)(d) akta sama.

Katanya, mereka akan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Belantik, Sik untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Mac 2018 @ 3:03 PM