AL SULTAN Abdullah menyampaikan sumbangan kepada kanak-kanak Orang Asli di Rumah Transit Kampung Orang Asli Sungai Ruil. FOTO Mohd Rafi Mamat
AL SULTAN Abdullah menyampaikan sumbangan kepada kanak-kanak Orang Asli di Rumah Transit Kampung Orang Asli Sungai Ruil. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


Cameron Highlands: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berharap kerja pembaikan cerun runtuh di Kampung Orang Asli Sungai Ruil, di sini dapat disiapkan segera mengikut jadual supaya mangsa dapat pulang ke rumah masing-masing.

Baginda menegaskan, pihak yang menjalankan kerja berkenaan perlu melakukan kerja dengan sebaik mungkin bagi memastikan kejadian cerun runtuh tidak terus berulang.

"Saya juga berharap kejadian cerun runtuh tidak berlaku lagi di Kampung Sungai Ruil... saya masih ingat kes pertama tanah runtuh berlaku di kampung berkenaan pada 2021... saya melawat tempat kejadian.

"Kejadian tanah runtuh sering berlaku di Cameron Highlands membabitkan kawasan bukit termasuk tepi jalan setiap kali musim hujan, pihak berwajib perlu memberi perhatian yang serius," titah baginda ketika menyantuni penghuni Rumah Transit Mangsa Cerun Runtuh Kampung Orang Asli Sungai Ruil, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Pahan, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Ramli Mohd Noor; Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Pahang dan Pengurus Besar TNB Pahang, Affendi Ab Rahman.

Baginda bertitah, projek perumahan Kampung Sungai Ruil adalah yang termewah dan menarik pertama di negeri ini serta mungkin yang pertama di negara ini disediakan untuk Orang Asli.

"Saya berharap semua 157 pemilik rumah di Kampung Sungai Ruil ini tidak menjual dan menukar syarat rumah mereka.

"Rumah yang disediakan kerajaan khas untuk Orang Asli itu perlu dijaga dengan sebaik mungkin sambil melakukan selenggaraan secara berterusan," titah baginda.

Sebanyak 17 keluarga membabitkan 88 isi rumah yang terbabit dengan kejadian cerun runtuh di Kampung Sungai Ruil pada Februari tahun lalu, kini ditempatkan sementara di kuarters Tenaga Nasional Berhad (TNB) Sungai Ruil, Tanah Rata selama dua tahun.

Mereka hanya dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas kerja pembaikan cerun itu yang dijangka mengambil masa dua tahun siap sepenuhnya membabitkan peruntukan RM3.5 juta

.

Bagi Norzalina Samsudin, 32, dia sekeluarga bersama beberapa mangsa lain berpindah ke kuarters TNB bulan lalu selepas mendapat arahan daripada Batin, mangsa lain akan berpindah secara berperingkat.

"Saya menetap ditingkat bawah bangunan empat tingkat itu, dengan kemudahan dua bilik dan tandas ia memberi keselesaan pada setiap keluarga," katanya yang tinggal bersama ibu dan bapanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2024 @ 1:14 PM