GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Nasaruddin Parzi

Kuala Lumpur: Sebanyak 71,631 panggilan diterima Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) membabitkan kes penipuan dan khidmat nasihat kepada orang ramai antara 12 Oktober 2022 sehingga 31 Januari lalu dengan jumlah kerugian berjumlah RM245 juta.

Sehubungan itu, Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka 8,754 kertas siasatan bagi menyiasat berkaitan kesalahan penipuan di bawah seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Katanya, sementara itu sebanyak 64 kertas siasatan dibuka di bawah Aktiviti Haram 2001 (AMLA), disamping sudah membekukan sebanyak RM69 juta bagi tujuan siasatan bagi kesalahan pengubahan wang haram.

"Penipuan pelaburan, skim ponzi dan atas talian adalah dipantau oleh pelbagai agensi bergantung kepada elemen kesalahan berkenaan di bawah bidang kuasa masing-masing.

"Di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan, terdapat pelbagai langkah penguatkuasaan diambil Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC)," katanya menjawab soalan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata bagi mengesan dan mengenal pasti skim atau aliran wang haram luar negara, BNM bekerjasama dengan pihak berkuasa asing yang menjalankan analisis jejak kewangan atau siasatan ke atas sebarang jenayah penipuan dan skim kewangan haram yang dilakukan dalam negara mereka.

Selain itu, katanya kerjasama strategik pelbagai pihak di antara BNM, SC, agensi penguatkuasaan lain, institusi kewangan dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) bagi tindakan penguatkuasaan yang lebih cekap ke atas sindiket jenayah penipuan pelaburan melalui perkongsian maklumat dan aktiviti menjejak dan mengesan aliran wang haram.

"Penjenayah pengubahan wang haram bukan saja boleh dikenakan hukuman penjara, malah aset serta wang hasil yang diperolehi menerusi kegiatan haram juga boleh disita atau dilucuthakkan di bawah AMLA. Contohnya, pihak SC sudah mengambil tindakan menyita wang berjumlah RM116 juta (2021-2023).

"BNM juga sudah mengambil pelbagai langkah terhadap syarikat syarikat yang mendakwa memperoleh lesen dan kelulusan BNM termasuklah menyenarai di dalam Senarai Amaran Pengguna Kewangan serta mengambil tindakan undang-undang di atas penyalahgunaan nama BNM.

"Setakat 2023, 497 entiti sudah disenaraikan di bawah Senarai Amaran Pengguna Kewangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2024 @ 12:40 PM