NOR Shamsiah
NOR Shamsiah


Usaha membanteras jenayah kewangan sering kali menjadi tugas sukar kerana kumpulan penjenayah yang terbabit masih menggunakan wang tunai sebagai instrumen kepada kegiatan haram.

Wang tunai kekal menjadi pilihan utama disebabkan kelebihannya yang sukar dijejak meskipun banyak transaksi antara dua pihak dilakukan seperti menyimpan, memindah dan mengagihkan hasil kegiatan haram itu.

Perkara sedemikian menjadikannya lebih mudah digunakan bagi aktiviti pembiayaan keganasan, penggubahan wang haram serta kegiatan jenayah berat.

Apa yang lebih membimbangkan, pergerakan wang tunai di luar sistem perbankan atau pembayaran dalam talian ini sukar dijejaki dan jika tidak dikawal, ia mampu mendorong kepada jenayah lebih serius.

Mungkin ramai memandang isu jenayah kewangan ini sebagai perkara biasa, namun ia sebenarnya adalah penyumbang kepada jenayah lain seperti rasuah, penipuan, pengedaran dadah, penyeludupan, pemerdagangan manusia, eksploitasi seks dan sindiket terancang.

Secara dasarnya, jenayah kewangan yang menyalah guna wang tunai sememangnya kompleks dan memerlukan pembabitan agensi penguatkuasaan tempatan dan ada ketikanya memerlukan campur tangan agensi penguatkuasaan antarabangsa serta bantuan rentas sempadan.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus pada taklimat Laporan Tahunan BNM dan Laporan Kestabilan Kewangan dan Sistem Pembayaran pada Mac lalu berkata, BNM akan meneliti keperluan memperkenalkan had transaksi tunai sebagai satu usaha menangani risiko penyalahgunaan wang tunai bagi aktiviti haram.

Malaysia komited memelihara integriti sistem kewangan negara daripada aktiviti penggubahan wang haram.

BNM sebagai pihak berkuasa di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA 2001) memainkan peranan penting dalam menyelaraskan usaha ini di peringkat kebangsaan.

Pelaksanaan inisiatif ini bertujuan meningkatkan integriti sistem kewangan negara dan sebagai langkah membendung penyalahgunaan wang tunai untuk aktiviti haram.

Langkah untuk memperkenalkan had transaksi tunai yang menyasarkan transaksi bernilai tinggi perlu dilaksana bagi menjamin kesejahteraan sistem kewangan negara.

Ia bagi memperkasa penggunaan sistem perbankan dan pembayaran dalam talian untuk memastikan rekod transaksi jelas dan telus.

Bagaimanapun, sebelum melaksanakannya, BNM perlu mendapatkan maklum balas serta pandangan pihak industri serta orang ramai.

Selain Malaysia, negara lain menguatkuasakan had transaksi tunai seperti ini khususnya di Eropah, Asia Pasifik dan Australia manakala Indonesia mula mencadangkan perkara ini sejak tahun lalu.

Sebagai contoh, Australia meletakkan had transaksi tunainya pada nilai AUD$10,000 dan India pula sehingga INR$200,000.

Sebelum ini, berkuat kuasa 1 Januari 2019, BNM mengurangkan nilai ambang pelaporan transaksi wang tunai (CTR) daripada RM50,000 kepada RM25,000.

Laporan CTR wajib dikemukakan institusi perbankan dan institusi pelapor lain bagi melengkapi laporan transaksi yang mencurigakan (STR).

STR adalah sumber maklumat untuk tujuan pemantauan, risikan dan penyiasatan jenayah kewangan oleh agensi penguatkuasaan undang-undang.

Penilaian yang dibuat sebelum ini menunjukkan bahawa nilai ambang sebanyak RM50,000 adalah tinggi berbanding negara lain dan tidak mencerminkan saiz serta kelaziman penggunaan wang tunai dalam ekonomi Malaysia dengan sewajarnya.

Dengan menurunkan nilai ambang ini, aktiviti jenayah kewangan dapat dikesan dengan lebih mudah melalui pemantauan yang lebih mantap ke atas transaksi yang mencurigakan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 November 2019 @ 6:00 AM