Norain bersama suami, Mohd Hassan menemani anak orang upaya (OKU) mereka yang menerima sumbangan baju sekolah di Pasaraya Econsave Cash And Carry Permas Jaya di sini hari ini. FOTO Mary Victoria Dass
Norain bersama suami, Mohd Hassan menemani anak orang upaya (OKU) mereka yang menerima sumbangan baju sekolah di Pasaraya Econsave Cash And Carry Permas Jaya di sini hari ini. FOTO Mary Victoria Dass
Oleh Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Selain bergelut dengan masalah kesihatan diri sendiri, pengutip barangan lusuh, Norain Zailani, 35, turut menanggung suami yang menghidap pelbagai penyakit dan lima anak orang kurang upaya (OKU)

Norain menghidap pelbagai penyakit antaranya serangan sistem imun badan iaitu Sistemik Lupus Eri­tematosus (SLE) dan penyakit kulit yang kronik, Diskoid Lupus Eritematosus (DLE).

Katanya, selain itu dia juga menghidap ketumbuhan di salur mata, payu dara dan rahim.

Manakala suaminya, Mohd Hassan Basri, 42, yang sebelum ibni menjadi tulang belakang keluarga disahkan menghidap penyakit jantung dan kanser usus kronik sejak lebih setahun lalu.

"Sejak menghidap penyakit jantung, suami tidak lagi bekerja sebagai pengutip barang lusuh dan kerap berulang-alik ke hospital manakala saya juga tidak dapat melakukan pekerjaan itu kerana pergerakan terhad berikutan bahagian kiri tubuh menjadi lemah serta tidak stabil.

"Hampir setiap tahun anak-anak guna pakaian sekolah lusuh, tapi tahun ini saya tak larat mencarinya kerana masalah kesihatan," katanya.

Norain berkata, dia buntu dengan persiapan persekolahan bagi lima daripada tujuh cahaya matanya yang juga OKU itu.

"Dalam keadaan kami yang masing-masing menghidap penyakit kronik, kami tidak dapat menyediakan persiapan persekolahan bagi anak kerana kebiasaannya kami akan mengutip baju sekolah yang tidak terpakai sebelum dicuci bersih untuk digunakan," katanya.

Norain yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Stulang di sini, berkata lima anaknya, Mohd Nur Fahmi, 13; Mohd Nur Ilmi, 12; Muhammad Hassan, 11; Hana Wardatul Jannah, 9 dan Siti Khadijah Aisyah, 6, disahkan OKU kategori Sindrom Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD) serta masalah rabun.

Hanya hanya anak keenam dan bongsu mereka iaitu Mohd Nur Nasuha, 4 dan Mohd Nur Azfar, setahun dikategorikan sebagai normal.

Katanya, mereka kini hanya bergantung kepada bantuan perubatan bagi suaminya daripada Baitulmal RM400 dan bantuan OKU Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) anak-anaknya berjumlah RM1,000 bagi meneruskan kehidupan.

"Memang kami berat hati untuk berpisah dengan anak namun disebabkan faktor kesihatan, kewangan dan pengangkutan, oleh itu kami rela demi kebaikan mereka.

"Harapan kami adalah masa depan mereka lebih cerah dan tidak tercicir dalam akademik," katanya.

Terdahulu keluarga berkenaan menerima kunjungan dan menerima sumbangan daripada Pasar Raya Econsave Cash And Carry cawangan Permas Jaya di sini, hari ini.

Pengurus Besarnya, Mas Imran Adam berkata, pihaknya memberi sumbangan barangan dan kelengkapan persekolahan bernilai RM1,100 kepada keluarga itu.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyumbang terus ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) bernombor 01002-41-00007440-4 atas nama Norain Zailani.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2024 @ 3:56 PM