SAIFUDDIN Nasution Ismail. FOTO Arkib NSTP.
SAIFUDDIN Nasution Ismail. FOTO Arkib NSTP.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Putrajaya: Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan bertoleransi terhadap perbuatan tidak beretika, rasuah serta penyelewengan anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pendekatan toleransi sifar terhadap perbuatan berkenaan adalah bagi menjaga imej dan reputasi pasukan itu.

"Dalam Perhimpunan Bulanan KDN, saya menyampaikan mesej berkaitan 'zero tolerance' terhadap perlanggaran (disiplin) itu.

"PDRM adalah pasukan penguatkuasaan keselamatan, bila berlaku pelanggaran (masalah disiplin) penerimaan rakyat adalah berbeza," katanya ketika ditemui dalam majlis ringkas di kediamannya, di sini, semalam.

Beliau berkata, media sebelum ini melaporkan beberapa laporan mengenai masalah disiplin, pelanggaran etika kerja, rasuah dan jenayah dalam kalangan anggota polis.

"Perkara ini menjadi isu besar kerana polis adalah pasukan penguat kuasa keselamatan untuk menjaga keamanan dan ketenteraman awam.

"Jadi apabila perlanggaran itu membabitkan anggota polis, ia akan menjadi tumpuan rakyat," katanya.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay

sudah menyampaikan mesej itu (toleransi sifar) kepada warga PDRM.

"Razarudin juga turun ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), selain berkomunikasi dengan petugas Unit Kereta Peronda (MPV) bagi memastikan mereka patuh disiplin dan ikut panduan yang ditetapkan.

"Tindakan atau 'omnipresence' beliau (Razarudin) itu memberikan dorongan luar biasa kepada anggota PDRM," katanya.

Saifuddin berkata, apabila berlaku pertemuan di peringkat Bukit Aman, Ayob Khan atau Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, mereka memberikan mesej dengan cara 'polis'.

"Barang kali bahasa mereka kasar, tetapi itulah kaedah mereka menyampaikan mesej," katanya.

Katanya, beliau juga berpeluang menyampaikan amanat serta mengingatkan semula tugas dan tanggungjawab utama PDRM pada program pertemuan bersama pegawai polis di Desaru, Johor Bahru, pada minggu lalu.

"Kita mendapati kepimpinan utama PDRM mengambil pendekatan 'reach out' sampai ke peringkat bawah, saya anggap pendekatan ini satu tindakan yang boleh membantu memberi dorongan dan motivasi kerja dalam kalangan anggota," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2024 @ 11:34 AM