GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Ampang Jaya: Enam lagi individu termasuk empat wanita ditahan berhubung kes samun warga asing di sebuah rumah di Jalan Pandan Indah, di sini, pada 22 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya menahan dua lelaki tempatan, dua wanita tempatan serta dua wanita warga asing berusia antara 36 hingga 50 tahun dalam serbuan di sekitar Kuala Lumpur pada 26 dan 27 Februari lalu.

"Dalam serbuan itu, kami merampas enam telefon bimbit, seutas rantai leher dan dua cincin disyaki hasil samun bagi membantu siasatan.

"Suspek yang ditahan berperanan menawarkan kerja samun kepada suspek lain dan menjadi orang tengah bagi mendapatkan pembeli barang kemas yang disamun," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Azam berkata, semakan dilakukan mendapati empat suspek tempatan mempunyai antara enam hingga 16 rekod jenayah.

"Salah seorang daripada empat suspek mempunyai satu rekod dikehendaki atas kesalahan jenayah, manakala dua lagi suspek wanita warga asing tiada sebarang rekod jenayah.

"Hasil ujian saringan awal air kencing dilakukan mendapati semua suspek positif dadah jenis methaphetamin dan amphetamin," katanya.

Beliau berkata, semua suspek terbabit direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 4 Mac ini untuk siasatan lanjut.

"Mereka disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan kumpulan bersenjata dan cuba menyebabkan kematian atau cedera parah.

"Kes itu juga disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyamar penjawat awam," katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan polis menahan empat lelaki tempatan berusia 30 tahun hingga 44 tahun yang dipercayai terbabit dalam kes itu pada 23 Februari lalu.

Mohd Azam dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki warga Bangladesh yang memaklumkan dia disamun di rumah sewanya di Jalan Pandan Indah, pada 20 Februari lalu

Menurut pengadu, semasa berada di rumah, terdapat enam lelaki tidak dikenali memakai vest, membawa gunting besar dan tukul memaklumkan mahu membuat operasi kira-kira jam 9 malam, hari kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2024 @ 6:37 PM