Orang ramai menyaksikan pameran haiwan yang diawet pada Majlis Perasmian Pameran Zoologi Seni Taksidermi (seni atau kaedah mengawet spesimen haiwan) di Muzium Perak, Taiping hari ini. FOTO Bernama
Orang ramai menyaksikan pameran haiwan yang diawet pada Majlis Perasmian Pameran Zoologi Seni Taksidermi (seni atau kaedah mengawet spesimen haiwan) di Muzium Perak, Taiping hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

Taiping: Jabatan Muzium Malaysia menghantar permohonan kepada Jabatan Warisan Negara bagi menilai sekali gus mengangkat spesimen tengkorak gajah jantan berusia 130 tahun dan gerabak kereta api 'Perak State Railway' sebagai objek warisan kebangsaan.

Timbalan Ketua Pengarah (Permuziuman) Jabatan Muzium Malaysia, Mohd Razaimi Hamat berkata, ini kerana kedua-dua artifak berkenaan amat signifikan selain mempunyai nilai sejarah yang tinggi khususnya kepada Perak.

"Kita bertuah dan seharusnya berbangga kerana kedua-dua artifak ini masih tersimpan serta terjaga dalam keadaan sempurna di Muzium Perak.

"Kita harapkan usaha ini akan berjaya berdasarkan justifikasi yang kita telah diberikan terutama membabitkan nilai-nilai sejarah yang terdapat pada kedua-dua artifak itu. "Keputusan berhubung perkara ini juga mungkin diketahui pada tahun ini," katanya ditemui media selepas Majlis Perasmian Pameran Zoologi: Seni Taksidermi di Muzium Perak di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri Loh Sze Yee.

Spesimen tengkorak gajah jantan dipamer di Muzium Perak bagi memperingati peristiwa perlanggaran haiwan itu dengan kereta api wap yang membawa tiga gerabak penumpang pada 17 September 1894 di Teluk Intan.

Gerabak kereta api 'Perak State Railway' yang dibina pada 1897 oleh Syarikat Metropolitan Railway Carriage & Wagon Company Bulider Saltley Works dari England pula antara pengangkutan terawal digunakan oleh pegawai British untuk urusan pengeksportan bijih timah di Perak.

Mohd Razaimi berkata, sekiranya berjaya dinobatkan sebagai objek warisan kebangsaan, kedua-dua artifak itu akan mendapat kelebihan terutama daripada peruntukan bagi proses pemuliharaan secara berterusan oleh Jabatan Warisan Negara.

"Secara tidak langsung, ia memberi nilai tambah kepada Muzium Perak kerana apabila ada artifak berstatus tersebut, kerja-kerja promosi akan bertambah mudah dan dijangka mampu untuk menarik kehadiran pengunjung," katanya.

Sementara itu, Loh berkata, kerajaan negeri menggalakkan mana-mana pusat pelancongan berorientasikan sejarah supaya melakukan penterjemahan pelbagai bahasa dalam bentuk digital bagi menarik kedatangan pelancong sempena Tahun Melawat Perak 2024.

"Pada masa ini, segala informasi mengenai barang yang dipamerkan adalah menggunakan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

"Mungkin selepas ini boleh diwujudkan terjemahan dalam bahasa Thailand, China, Jepun, Arab dan sebagainya dalam bentuk pengimbasan melalui kod QR," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2024 @ 4:22 PM