Hairul Anwar mengunting rambut pekerja warga Bangladesh yang mendapat perhatian di TikTok dan menerima pelbagai reaksi netizen yang memuji tindakan pemilik kedai gunting rambut itu.
Hairul Anwar mengunting rambut pekerja warga Bangladesh yang mendapat perhatian di TikTok dan menerima pelbagai reaksi netizen yang memuji tindakan pemilik kedai gunting rambut itu.
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Tindakan pemuda ini memberi khidmat gunting rambut secara percuma kepada pekerja buruh warga Bangladesh mendapat pujian netizen yang menyifatkan usaha itu tidak memilih untuk berbuat baik sesama manusia.

Video Hairul Anwar Hamdi, 33, menggunting rambut pekerja warga asing berkenaan mendapat perhatian di TikTok dan menerima pelbagai reaksi netizen yang rata-rata memuji tindakan pemilik kedai gunting rambut itu.

Kebanyakan netizen menyifatkan tidak salah berbuat baik biarpun kepada warga asing terutama mereka yang menjaga adab dan bekerja di negara ini dengan cara sah.

Hairul Anwar berkata, video itu dirakam di Setiawangsa di sini ketika dia bersama pasukannya dalam perjalanan untuk menggunting rambut gelandangan di Chow Kit, di sini pada Isnin lalu.

"Dalam perjalanan kami ternampak tiga pekerja Bangladesh sedang duduk berehat dan mungkin mereka adalah pekerja di sebuah tapak projek berhampiran.

"Idea gunting rambut itu datang secara spontan daripada pasukan saya dan kami merakamnya.

"Saya mendekati mereka dan cakap mahu menggunting rambut secara percuma tetapi pada mulanya mereka menolak dan nampak seperti takut sebelum saya tunjuk video (dirinya menggunting rambut) barulah mereka mahu," kata pemilik DS Barbershop yang mempunyai dua premis gunting rambut.

Katanya, dia selalu menghasilkan video menggunting rambut gelandangan dan kanak-kanak di padang selain bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) untuk menggunting rambut gelandangan setiap Khamis minggu ketiga.

"Memang saya buat video untuk kandungan media sosial tetapi tujuan utama saya mahu menunjukkan kemahiran itu boleh dimanfaatkan kepada orang lain sekali gus berkongsi rezeki terutama mereka yang tidak mampu pergi kedai untuk gunting rambut seperti gelandangan.

"Selain itu, ia juga menunjukkan bidang gunting rambut ini tidak lagi dipandang rendah dan sekarang sudah ramai anak muda menjadi tukang gunting rambut (profesional)," katanya yang menceburi bidang perniagaan itu sejak dua tahun lalu.

Berhubung perkongsiannya, Hairul Anwar berkata, dia tidak menyangka video bersama pekerja asing itu akan mendapat perhatian netizen dan selain komen positif dia menerima komen agak negatif tetapi menganggapnya sebagai gurauan.

Katanya, ada yang mengatakan usaha itu dilakukan tanpa mengira bangsa dan ada juga yang bertanya kenapa memilih Bangladesh namun sebenarnya dia juga pernah memberi khidmat percuma kepada warga tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2024 @ 12:52 PM