LEBIH 100 tapak pelipusan sampah haram dikesan beroperasi, dipercayai menggunakan kontraktor haram. FOTO Ihsan FB Datuk Ng Suee Lim.
LEBIH 100 tapak pelipusan sampah haram dikesan beroperasi, dipercayai menggunakan kontraktor haram. FOTO Ihsan FB Datuk Ng Suee Lim.
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Kerajaan negeri mengesan lebih 100 tapak pelupusan sampah beroperasi secara haram di sekitar Selangor, setakat ini.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim berkata, ia berikutan terdapat sebilangan premis masih menggunakan kontraktor haram bagi menjalankan aktiviti pembuangan sampah.

"Antara lokasi tapak sampah haram adalah di Klang, Serdang dan Gombak. Justeru, kita mahu pihak berkuasa tempatan (PBT) lebih tegas dalam menangani pemasalahan ini.

"Pengusaha premis turut diberikan amaran agar tidak menggunakan kontraktor yang tidak berdaftar dengan PBT," katanya ketika meninjau tapak sampah haram di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga tidak menolak isu pembuangan sampah haram sukar ditangani disebabkan penglibatan sindiket tertentu.

Katanya, beliau akan mencadangkan pindaan undang-undang kecil Majlis Kerajaan Tempatan bagi meningkatkan hukuman penjara sehingga dua tahun kepada pembuang sampah.

Mengulas mengenai tapak pelupusan Sungai Serdang, Kapar, beliau berkata, Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) sudah menjalankan penguatkuasaan sebanyak enam kali dan menyita lori.

Ng berkata, KDEB Waste Management (KDEBWM) juga mengeluarkan 700 tan sampah sejak 2021, namun isu pembuangan sampah masih tidak selesai dan berlaku kebakaran.

"Kita sudah menyerahkan notis 7A kepada pemilik tanah bagi memastikan kejadian sama tidak berulang atau mereka berdepan dengan tindakan rampasan tanah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2024 @ 3:54 PM