LOKASI pembuangan sampah haram yang dikesan MPHS. FOTO ihsan MPHS
LOKASI pembuangan sampah haram yang dikesan MPHS. FOTO ihsan MPHS
Muhaamad Hafis Nawawi


Hulu Selangor: Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) bersama syarikat kontraktor Kumpulan Darul Ehsan Berhad Waste Management (KDEB) mengadakan operasi pembersihan lokasi titik panas (hotspot) pembuangan sampah haram di Jalan Persiaran Antara Gapi, Serendah, di sini, kelmarin.

Pihak majlis menerima aduan tinggi di lokasi itu berikutan pembuangan sampah haram yang bercampur sisa-sisa binaan, sampah pukal dan domestik.

Sebagai langkah pencegahan, pihak majlis memasang pita kuning manakala pemilik tanah meletakkan papan tanda Larangan Membuang Sampah di lokasi berkenaan.

Yang Dipertua MPHS, Mohd Hasry Nor Mohd berkata, sebanyak 26 lokasi pembuangan sampah haram dibersihkan pada tahun ini.

Menurutnya, lokasi sampah haram sukar dikesan memandangkan lokasinya tersorok.

"Pelbagai usaha dilaksanakan untuk membasmi tapak pembuangan sampah haram, antaranya melaksanakan kerja-kerja pembersihan di lokasi dikenal pasti, meletakkan papan amaran dan memasang tali penghalang.

"Selain itu, MPHS turut menawarkan pemberian insentif kepada orang awam yang menyalurkan maklumat sehingga tertangkapnya individu yang membuang sampah haram dalam menggalakkan orang awam turut sama membantu pihak berkuasa tempatan (PBT) menangani aktiviti tidak sihat ini," katanya.

Beliau berkata, mana-mana pihak yang membuang sampah haram boleh dikenakan tindakan mengikut Undang-Undang Kecil Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap (MDHS) 2007.

"Sehingga kini pihak MPHS mengeluarkan sebanyak 10 notis bagi tapak pembuangan sampah haram dan tindakan sitaan tiga kenderaan pada tahun ini.

"Saya kesal dengan sikap individu yang tidak bertanggungjawab ini kerana ia bukan saja mencemarkan alam sekitar malah mengundang pelbagai masalah kesihatan selain memberi implikasi kewangan kepada PBT untuk kerja-kerja pembersihan," katanya.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai terutama penduduk setempat untuk menyalurkan maklumat mengenai kegiatan pembuangan sampah haram kepada MPHS bagi mengelakkan kejadian lebih buruk berlaku sekali gus menjaga imej daerah ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Jun 2023 @ 12:44 PM