MOHAMMAD Husin pada sidang media selepas Majlis Amanat Tahun Baharu Pengerusi KADA Bersama Warga KADA di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat KADA. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
MOHAMMAD Husin pada sidang media selepas Majlis Amanat Tahun Baharu Pengerusi KADA Bersama Warga KADA di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat KADA. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) mengambil langkah awal dengan menyediakan 150 unit pam 'backward' untuk membantu pesawah di negeri ini berdepan dengan cuaca panas dan fenomena El Nino.

Pengerusinya, Mohammad Husain berkata, tambahan pam berkenaan dibeli melalui peruntukan yang diberikan oleh Kada berjumlah RM200,000.

Menurutnya, pada tahun lalu pihaknya sudah menyediakan sebanyak 86 unit pam 'backward'.

"Kesemua pam ini sudah ada dan pihak Kada hanya menunggu makluman daripada pesawah mengenai kawasan mana yang terjejas serta memerlukan pam 'backward' dan ia akan dihantar terus kepada mereka.

"Pada masa sama pihak Kada turut menyediakan sebanyak tiga unit pam sokongan selain pam kitar semula untuk sistem pengairan di sawah sepanjang berdepan dengan fenomena El Nino," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas majlis Amanat Tahun Baharu Pengerusi Kada Bersama Warga Kada di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Kada di sini, hari ini.

Turut hadir sama Pengurus Besar Kada Mohd Faizul Mustafa.

Mohammad berkata, pihak Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan juga sudah meluluskan peruntukan berjumlah RM500,000 untuk pembinaan telaga tiub.

"Sekiranya harga seunit telaga tiub bernilai antara RM4,000 hingga RM5,000 seunit, maka kita boleh membeli sebanyak 100 unit telaga tiub.

"Terdapat beberapa kawasan Kada yang masih sesuai menggunakan telaga tiub dan pada masa sama kita juga akan menyediakan sebanyak 50 liter diesel seminggu untuk pesawah yang menggunakan telaga tiub.

"Harapan kita langkah awal yang dilakukan ini dapat membantu pesawah dan memastikan keluasan 26,000 hektar sawah di enam daerah Kada dipenuhi dengan sumber air," katanya.

Beliau berkata, pihak Kada juga sudah mengadakan perbincangan dengan pesawah mengenai cuaca panas dan fenomena El Nino.

"Kita berharap dengan kemudahan yang disediakan ini membantu pesawah untuk menghadapi El Nino," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohammad berkata, antara faktor yang menyumbang prestasi hasil pengeluaran padi yang rendah di Kada adalah dengan ketiadaan sistem pengairan yang sistematik.

"Kada pada masa ini tidak mempunyai empangan untuk menampung atau menyimpan bekalan air berbanding jelapang lain yang mempunyai empangan tersendiri untuk menampung sistem pengairan mereka.

"Selain itu, Kada juga berhadapan dengan penyusutan kawasan jelapang bagi tujuan pembangunan seperti komersial dan perumahan yang juga menjadi faktor rendahnya hasil padi di Kada," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2024 @ 2:41 PM