731 saman trafik dikeluarkan menerusi Ops Motosikal dan Ops Samseng Jalanan di sekitar Kuala Lumpur semalam.  FOTO Ihsan JSPT KL
731 saman trafik dikeluarkan menerusi Ops Motosikal dan Ops Samseng Jalanan di sekitar Kuala Lumpur semalam. FOTO Ihsan JSPT KL
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Padah menunggang ala 'superman', seorang lelaki ditahan polis menerusi Op Samseng Jalanan di Lebuhraya Shah Alam (Kesas), dekat Subang, Selangor, semalam.

Operasi di bawah Op Selamat 21 sempena Tahun Baharu Cina dijalankan oleh Unit EMPV Zon Tengah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman kira-kira 10 malam itu tertumpu di Kesas dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban.

Pengarah JSPT, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, seramai 15 pegawai dan anggota terbabit operasi bagi mencegah kegiatan samseng jalanan.

"Dalam operasi di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban, pasukan memeriksa sekumpulan penunggang motosikal di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Seremban arah selatan dengan sebanyak 106 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

"Selain itu, sebanyak enam motosikal disita dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Di Kesas pula, Mohd Azman berkata, pasukan yang menjalankan rondaan pada jam 11.30 malam menahan seorang penunggang motosikal yang disyaki menunggang secara berbahaya dari Kilometer 34.3 sehingga Kilometer 36.3 arah Kuala Lumpur.

Beliau berkata, suspek dibawa ke IPD Subang Jaya untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, JSPT komited untuk membanteras sebarang aktiviti samseng jalanan terutama semasa musim perayaan kerana merisikokan keselamatan semua pengguna jalan raya lain.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Februari 2024 @ 4:16 PM