Noor Atiqah Sulaiman


Kuala Lumpur: Proses pengundian awal Pilihan Raya Umum (Pemilu) Indonesia 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) menjadi tidak terkawal apabila pengundi menjadi agresif dan tidak mahu mendengar arahan daripada pihak berkuasa.

Rata-rata pengundi mula membanjiri pusat pengundian utama Malaysia pada 8 pagi tadi namun sehingga kini puluhan ribuan rakyat Indonesia masih tidak dibenarkan masuk untuk mengundi.

Difahamkan, kesemua mereka diminta masuk ke dalam perkarangan WTCKL secara berperingkat namun terdapat segelintir cuba menolak penguat kuasa ketika pintu utama dan penghadang untuk ke bilik pengundian dibuka.

Bagi pengundi, Agus Priytno, 44, ini adalah kali kedua beliau mengundi di Malaysia dan mengakui keadaan pusat pengundian di WTCKL tidak terkawal kerana ia adalah lokasi asing kepada mereka dan rata-rata pengundi tidak mengetahui hala tuju untuk mengundi.

"Sebelum ini kita mengundi di Kedutaan Indonesia dan kebanyakan kami sudah mengetahui ke mana harus pergi, di mana tempat mendaftar dan di mana kita mahu mengundi.

"Tetapi di sini, kebanyakan pengundi tidak biasa dengan lokasinya dan disebabkan itu ia menjadi kelam kabut berbanding jika diadakan di bangunan kedutaan.

"Saya sudah dua jam berada di sini dan sehingga kini masih tidak boleh mengundi," katanya.

Sementara itu, Dede Firman, 27, berkata, ini adalah pengalaman pertamanya mengundi di Malaysia dan agak terkejut melihat situasi yang berlaku di WTCKL.

"Memang apa yang berlaku di sini agak luar biasa, kerana kita tumpu hanya pada satu pusat mengundi. Jika di Indonesia lokasi mengundinya lebih banyak dan tidak tertumpu," katanya yang berasal dari Sumatera.

Dalam pada itu, Dede berharap supaya pemimpin yang dipilih selepas ini lebih mesra rakyat, tidak mengambil rasuah serta mampu meningkatkan peluang pekerjaan di Indonesia.

Hari ini, seramai 222,945 pemilih yang layak akan menjalankan tanggungjawab di WTCKL bagi proses undi awal.

Selain itu, lima lagi lokasi untuk mengundi ialah di Johor Bahru dengan 2,684 pemilih, Pulau Pinang (5,375), Kota Kinabalu (2,811), Tawau (20,247) serta Kuching (2,988).

Indonesia memulakan kempen Pilihan Raya Presiden (Pilpres) 2024, 28 November lalu yang menyaksikan tiga calon bakal bersaing untuk pemilihan pemimpin pada 14 Februari ini.

Ia membabitkan bekas jeneral tentera, Prabowo Subianto, bekas Gabenor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo dan bekas Gabenor Jakarta, Anies Baswedan manakala penyandang Presiden, Joko Widodo (Jokowi) tidak bertanding semula setelah tempoh perkhidmatan dua penggalnya berakhir.

Sementara itu, tinjauan BH mendapati, hanya satu laluan dibuka di pintu utama WTCKL dan disebabkan itu pengundi dilihat menolak satu sama lain untuk memasuki perkarangan bangunan berkenaan.

Malah pengundi juga dilihat cuba menyelit memasuki celahan penghadang sebelum diikuti oleh rakyat Indonesia yang lain.

Mengulas mengenai kekecohan berkenaan, Pengarah Urusan Kumpulan WTCKL, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berkata, pihaknya hanya menyediakan tempat serta mengikut arahan yang dikeluarkan oleh pihak kedutaan.

"Mengenai hanya satu laluan dibuka untuk pengundi memasuki WTCKL, itu memang perkara yang dibincangkan dengan Kedutaan Indonesia tempoh hari dan kita hanya mengikut apa yang diminta.

"Jika mereka ini beratur dan tidak berpusu-pusu, sebenarnya laluan yang dibuka itu sama seperti barisan dan mereka boleh memasuki pusat pengundian secara berperingkat.

"Bagaimanapun kita tetap akan menambah baik supaya proses pengundian Pemilu dan Pilpres 2024 ini dapat berjalan dengan lancar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Februari 2024 @ 3:18 PM