KEADAAN Stesen Janakuasa Hidro Tenom Pangi selepas dilanda bencana tanah runtuh dan banjir lumpur pada 31 Oktober 2022. FOTO Ihsan SESB
KEADAAN Stesen Janakuasa Hidro Tenom Pangi selepas dilanda bencana tanah runtuh dan banjir lumpur pada 31 Oktober 2022. FOTO Ihsan SESB
Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) membelanjakan kira-kira RM50 juta untuk memulihkan Stesen Janakuasa Hidro Tenom Pangi yang mengalami kerosakan teruk akibat tanah runtuh dan banjir lumpur pada 31 Oktober 2022.

Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Ir Mohd Yaakob Jaafar berkata, kerosakan itu menyebabkan ia tidak dapat beroperasi sekali gus mengakibatkan syarikat utiliti itu kehilangan kapasiti penjanaan tenaga elektrik sebanyak 66 megawatt (MW) sejak lebih setahun lalu.

Bagaimanapun, katanya selepas proses pembaikan yang mencabar akibat bencana alam itu, tiga turbin jana kuasa yang masing-masing berkapasiti 22 MW dijadual dapat beroperasi semula secara berperingkat mulai bulan depan.

"Satu daripada tiga turbin jana kuasa di stesen ini dijadual dapat beroperasi semula pada Mac depan, disusuli turbin kedua pada Jun dan akhir sekali turbin ketiga pada September depan.

"Kos pembaikan setakat ini mencecah sebanyak RM50 juta," katanya dalam kenyataan berhubung perkembangan semasa kerja pembaikan stesen janakuasa itu, di sini.

Stesen Janakuasa Hidro Tenom Pangi dibina merentangi Sungai Padas di Kampung Pangi, Tenom, kira-kira 120 kilometer di selatan ibu negeri dan mula beroperasi pada 1984 bagi menjana tenaga elektrik menggunakan aliran air dari sungai berkenaan.

Mohd Yaakob berkata, antara kerja yang sudah selesai dilaksanakan ketika ini ialah pembaikan jalan masuk dan perlindungan cerun sementara di kawasan stesen dan muka sauk (intake).

"Seterusnya, kerja membina perlindungan cerun kekal di kawasan kritikal sepanjang jalan masuk ke stesen dalam proses pelaksanaan pada tahun ini.

"Selain itu kerja pembersihan terowong kuasa sepanjang 4.4 kilometer dan paip penstock (paip menyalurkan air ke turbin hidro) sejauh 155 meter juga sedang giat dilaksanakan dan dijadualkan siap pada Mac 2024.

"Pada masa yang sama, anggota kerja SESB dan kontraktor yang dilantik juga sedang giat melaksanakan kerja pembersihan terowong air. Apabila siap nanti, air Sungai Padas dapat disalur melalui terowong itu untuk memutar turbin," katanya.

Penutupan stesen jana kuasa hidro milik anak syarikat Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu antara punca penurunan janaan tenaga elektrik dalam sistem grid Sabah yang menyebabkan gangguan bekalan elektrik di Sabah dan Labuan sejak lebih setahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2024 @ 1:33 PM