Wilfred Madius Tangau meninjau pembersihan terowong stesen janakuasa hidro Tenom Pangi. FOTO JOHARY INDAN
Wilfred Madius Tangau meninjau pembersihan terowong stesen janakuasa hidro Tenom Pangi. FOTO JOHARY INDAN
Johary Indan


Kota Kinabalu: Kakitangan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan kontraktor terpaksa menghabiskan masa di dalam terowong stesen jana kuasa hidro Tenom sepanjang lapan kilometer setiap hari bagi membersihkan sisa lumpur dan kayu yang ada di situ sejak 2022.

Pengerusi SESB, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, kejadian berpunca bencana alam yang berlaku Oktober 2022 itu menyebabkan mini hidro Pangi, Tenom rosak.

"Kerja pembersihan itu perlu disiapkan segera sebelum stesen jana kuasa itu kembali beroperasi membekalkan tenaga elektrik tidak lama lagi.

"Jika semua kerja berjalan lancar, stesen itu dapat membekalkan semula 60 megawatt tenaga elektrik awal Jun ini kepada kawasan Keningau, Tambunan, Beaufort dan Tenom," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata, lima kakitangan SESB dan kontraktor banyak menghabiskan waktu berada dalam terowong untuk mengeluarkan sisa kotoran dan kayu yang merosakkan rumah tenaga dan tangki surge stesen tenaga.

Tangau berkata, lawatan ke stesen jana kuasa itu dua hari lalu untuk melihat sendiri perkembangan kerja pembaikan yang giat dijalankan memberi harapan kemudahan itu dapat kembali beroperasi mengikut jadual.

Katanya, SESB bersama kontraktor juga berinovasi menggunakan kaedah tidak membabitkan sebarang kegiatan letupan menghancurkan batu besar untuk memudahkan proses mengalihkan.

Beliau berkata, dengan perkembangan terbaru itu, diharap kemudahan itu akan dapat beroperasi lebih awal.

"Mini hidro itu mempunyai tiga turbin dengan keupayaan membekalkan 25 megawatt tenaga elektrik setiap satu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2024 @ 12:22 PM