Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah (tengah) berkenan melihat pameran perkembangan pentadbiran Majlis Bandaraya Diraja Klang diiringi Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (kanan) serta Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang, Datin Paduka Noraini Roslan pada Majlis Pengisytiharan Majlis Bandaraya Diraja Klang di Hotel Wyndham Acmar, Klang. FOTO FAIZ ANUAR
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah (tengah) berkenan melihat pameran perkembangan pentadbiran Majlis Bandaraya Diraja Klang diiringi Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (kanan) serta Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang, Datin Paduka Noraini Roslan pada Majlis Pengisytiharan Majlis Bandaraya Diraja Klang di Hotel Wyndham Acmar, Klang. FOTO FAIZ ANUAR
Ruwaida Md Zain


Klang: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan mengisytiharkan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) secara rasmi yang berkuat kuasa pada 23 November tahun lalu.

Pada majlis itu, baginda berkenan melafazkan pengisytiharan MBDK serta mengurniakan watikah pengisytiharan kepada Datuk Bandarnya, Datin Paduka Noraini Roslan.

"Beta, Sultan Sharafuddin Idris Shah dengan ini mengisytihar dan menetapkan bahawa Majlis Perbandaran Klang, bermula pada 23 November 2023 akan menjadi sebuah Bandar Raya Diraja buat selama-lamanya dan hendaklah disebut sebagai Majlis Bandaraya Diraja Klang.

"(Jadi) Gelaran Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang, hendaklah ditafsirkan sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang, Ahli-Ahli Majlis Perbandaran Klang, hendaklah ditafsirkan sebagai Ahli-Ahli Majlis Bandaraya Diraja Klang.

"Bahawasanya menurut Subseksyen 10(1) Akta Kerajaan Tempatan 1976, adalah diperuntukkan bahawa hendaklah ada seorang Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya yang dilantik oleh kerajaan beta," titah baginda.

Daerah terbesar di Selangor yang berstatus Majlis Perbandaran Klang (MPK) sejak 1977 itu suatu ketika dahulu pernah menjadi ibu negeri Selangor, sebelum diganti oleh Kuala Lumpur dan kini, Shah Alam.

Sementara, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari ketika sembah ucapan berkata, Klang adalah daerah keempat di Selangor yang dinaiktaraf sebagai bandaraya selepas Shah Alam, Petaling Jaya dan Subang Jaya.

"Kita bermula dengan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 10 Oktober 2000, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 20 Jun 2006, diikuti penaiktarafan Subang Jaya pada 20 Oktober 2020.

"Sehinggalah ke detik pagi ini, apabila Klang turut serta dan bakal menjayakan ikhtiar kerajaan negeri untuk membentuk Lembah Klang Raya yang mengatur dan menyusun serta meningkatkan kualiti perkhidmatan kerajaan kepada semua pemegang taruh.

"Uniknya Klang adalah Bandaraya Diraja pertama di Selangor, dan hanya Majlis Bandaraya Diraja ketiga di Malaysia, selain Bandaraya Alor Setar dan Bandaraya Johor Bahru.

"Bagi pihak kerajaan negeri Selangor dan seluruhnya saya merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming di atas pengiktirafan status taraf Bandaraya Diraja Klang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Februari 2024 @ 11:58 AM