GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


Gombak: Kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun cedera dipercayai didera oleh ibu tirinya di sebuah rumah di Bandar Tasik Puteri, Rawang, di sini.

Kejadian itu terbongkar selepas murid Tahun Enam terbabit melarikan diri dan meminta bantuan gurunya yang tinggal di kawasan berhampiran, pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira 6 pagi, mangsa yang mengalami lebam di bahagian badan dibawa ke Balai Polis Kundang di sini, untuk membuat laporan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, berdasarkan laporan, mangsa mendakwa dipukul ibu tirinya kerana dituduh mencuri duit tabung.

"Siasatan awal mendapati mangsa tinggal bersama bapa dan ibu tirinya tetapi mengaku hanya dipukul ibu tiri.

"Mangsa lari ke rumah guru yang tinggal di taman perumahan sama," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Bertindak atas laporan, Hussein berkata, polis menahan wanita berusia 40-an yang juga suri rumah untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Februari 2024 @ 10:37 PM