AHMAD Maslan melawat tapak pembinaan bangunan tambahan Hospital Pontian. FOTO Togi Marzuki
AHMAD Maslan melawat tapak pembinaan bangunan tambahan Hospital Pontian. FOTO Togi Marzuki
Togi Marzuki


Pontian: Dakwaan yang berlegar-legar di media sosial bahawa terdapat usaha mahu menggulingkan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi oleh Ketua Umno Bahagian disifatkan hanya khabar angin.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, beliau menafikan ada usaha menjatuhkan Presiden Umno seperti dakwaan berkenaan.

"Perkara ini tidak benar, kami tidak mendengarnya, cuma momokan daripada pihak-pihak tertentu yang ingin melihat Umno berpecah.

"Pertemuan petang ini cukup penting bagi menjelaskan kedudukan sebenar kepada pemimpin akar umbi tentang usaha mendapatkan pengampunan oleh Umno selama ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas lawatan tapak menaik taraf Hospital Pontian, di sini, hari ini.

Petang ini, Ahmad Zahid akan mengadakan pertemuan dengan 191 Ketua Umno Bahagian termasuk ketua wanita, ketua pemuda dan ketua puteri bersama exco masing-masing di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini.

Difahamkan, pertemuan berkenaan dipercayai bagi menjelaskan segala usaha pimpinan Umno untuk mendapatkan pengampunan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kerja Raya itu berkata, pihaknya tidak pernah meminggirkan Najib, sebaliknya usaha sentiasa dilakukan bagi memastikannya mendapat pengampunan sewajarnya.

Menurutnya, Umno memberi tumpuan terhadap usaha mendapat pengampunan penuh buat Najib yang masih mempunyai peluang berbuat demikian.

"Presiden Umno sudah melakukan banyak perkara, tetapi tidak semua boleh dinyatakan di khayalak ramai dan semalam beliau sudah menjelaskan kepada mesyuarat khas MKT Umno," katanya.

Terdahulu, Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 dilaporkan memutuskan hukuman ke atas Najib diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman dan denda yang perlu dibayar.

Dalam satu kenyataan Urusetia Lembaga Pengampunan, Najib dipersetujui untuk dibebaskan pada tarikh pembebasan awal iaitu pada 23 Ogos 2028 dan denda yang perlu dibayar iaitu sebanyak RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Februari 2024 @ 2:27 PM