AHMAD Zahid beramah mesra dengan sebahagian duta besar asing pada Majlis Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Timbalan Perdana Menteri (TPM) di Sri Satria, Putrajaya. FOTO Aizuddin Saad.
AHMAD Zahid beramah mesra dengan sebahagian duta besar asing pada Majlis Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Timbalan Perdana Menteri (TPM) di Sri Satria, Putrajaya. FOTO Aizuddin Saad.
Irwan Shafrizan Isma

Putrajaya: Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin Lembaga Pengampunan memikirkan waktu paling sesuai bagi membincangkan isu pengampunan membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, berikutan itu ahli Umno diminta bertenang dan menunggu sebarang kenyataan lanjut daripada Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri selaku urus setia lembaga terbabit.

"(Sidang Lembaga Pengampunan) Ia sudah berlalu pada 28 April lalu, sebagaimana kita ketahui agenda pengampunan (Najib) itu tidak dimasukkan.

"Ini kerana Lembaga Pengampunan memikirkan akan ada waktu paling sesuai untuk memasukkan agenda itu.

"Kita tunggulah sebarang kenyataan daripada BHEUU JPM yang menjadi sekretariat kepada Lembaga Pengampunan ini," katanya pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri TPM di Sri Satria di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, pendirian Umno sebelum ini melalui kenyataan Setiausaha Agung parti selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi adalah pendirian rasmi parti untuk memohon pengampunan terbabit.

"Itu adalah tanggungjawab kami sebagai sebuah parti yang pernah beliau (Najib) ketuai dan tentu ini adalah pendirian kita untuk dihormati oleh pihak lain terutama rakan dalam komponen Kerajaan Perpaduan," katanya.

Lembaga Pengampunan yang bersidang Jumaat lalu, tidak membincangkan mengenai petisyen rayuan pengampunan yang difailkan oleh Datuk Seri Najib Razak, untuk diampun dan dibebaskan daripada penjara.

Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang bermesyuarat pada 7 April lalu memohon ihsan Yang di-Pertuan Agong untuk mempertimbangkan pengampunan penuh kepada Najib.

Terdahulu, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abd Samad merayu kepada Yang di-Pertuan Agong dan Lembaga Pengampunan agar menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk diampun dan dibebaskan dari penjara.

Susulan itu Umno Kelantan memberi kata dua kepada Khalid, sama ada memohon maaf atau berdepan penarikan balik kerjasama antara parti di negeri itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 April 2023 @ 6:46 PM