Mohd Shahihan (kiri) bersama tertuduh, Hafihnizam (kanan), Sharif (dua dari kanan) serta Farhan selepas mereka membayar denda di Mahkamah Majistret Setiu. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
Mohd Shahihan (kiri) bersama tertuduh, Hafihnizam (kanan), Sharif (dua dari kanan) serta Farhan selepas mereka membayar denda di Mahkamah Majistret Setiu. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
Nurul Fatihah Sulaini


Setiu: Seorang pemandu serta kelindan lori didenda RM10,000 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret Setiu, di sini, hari ini atas pertuduhan menyeludup 78 kambing jantan bernilai RM22,951.20 tahun lalu.

Majistret Ainis Abu Hassan Shaari membuat keputusan itu selepas pemandu, Muhammad Hafihnizam Idris, 30, dan kelindan lori, Mohammad Sharif Abd Rahman, 23, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan.

Jika gagal bayar dua tertuduh berkenaan turut berdepan hukuman penjara 10 bulan.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa memindahkan 78 kambing dipercayai dari Thailand yang dimasukkan ke dalam guni dengan menggunakan lori jenis Isuzu tanpa memiliki Perakuan Kebenaran Pindah dan Perakuan Kesihatan Veterinar daripada Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu atau pegawai yang diberi kuasa olehnya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di tepi jalan, Kampung Penarik, di Permaisuri, Setiu, jam 7.50 malam pada 13 Disember 2023.

Bagi kesalahan itu, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut perenggan 4(1)(c) Perintah Menteri Besar bagi Kawalan Penyakit Kuku dan Mulut dan Hawar Berdarah bagi (Negeri Terengganu) (Tr.P.U.1) 2023 dan boleh dihukum mengikut Subseksyen 36 (7) akta sama yang membawa denda maksimum RM15,000.

Mahkamah turut memerintahkan hasil jualan 78 kambing jantan bernilai RM22,951.20 dilucutkan hak menjadi hasil kerajaan.

Sementara itu, di mahkamah yang sama seorang pemandu lori didenda RM 8,000 selepas mengaku bersalah atas kesalahan memindahkan 49 kambing betina disyaki dari Thailand bernilai RM13,160 tanpa kebenaran Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), tahun lalu.

Mohd Farhan Ab Rahim, 36, mengaku bersalah terhadap pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Selain itu mahkamah turut menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan sekiranya tertuduh gagal menjelaskan denda itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di tepi Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu berhadapan Mahkamah Setiu, Setiu, Terengganu, di sini, kira-kira pukul 08.45 malam pada 12 Julai 2023.

Tertuduh didakwa mengikut Perenggan i (b) Perintah Menteri Besar bagi Kawalan Penyakit Kuku Dan Mulut Dan Hawar Berdarah bagi Negeri Terengganu yang diwartakan di bawah Subseksyen 36(1) Akta Binatang 1953 dan boleh dihukum mengikut Subseksyen 36(7) akta sama yang membawa denda maksimum RM15,000.

Mahkamah turut memerintahkan hasil jualan 78 kambing jantan bernilai RM22,951.20 dan 49 kambing betina bernilai RM13,160 dilucutkan hak menjadi hasil kerajaan.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Terengganu Mohd Shahihan Mohd Tahar, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 January 2024 @ 2:41 PM