Nor Amalina Alias


Bachok: Bersalam dua kali dan membuang gambar sendiri menjadi tanda yang ditinggalkan salah seorang kanak-kanak yang lemas di kem tentera di Temerloh.

Zainab Daud,71 berkata, dia tidak menyangka itu petunjuk dia kehilangan cucunya, Aiman Syafiq Sudirman, 11 yang maut bersama dua rakan, Amar Mukhlis Mohd Anizan, 13 dan Muhammad Shafiq Aswad dalam kejadian lemas di kolam latihan sebuah kem tentera di Batu Lima, Mentakab, Pahang, semalam.

Menurutnya, kali terakhir dia bertemu Aiman yang juga cucu keempat daripada lapan cucunya pada minggu lalu ketika pulang ke kampung bagi menghadiri majlis perkahwinan ahli keluarga mereka.

"Saya ada simpan gambar tadika Aiman,tapi terkejut bila terjumpa gambar itu di tempat pembuangan sampah selepas mereka pulang, saya tanya Aiman, kenapa buang gambar itu.

"Satu lagi perkara pelik bila arwah bersalaman dua kali dengan saya sebelum bertolak balik ke Pahang," katanya ketika ditemui di Kampung Renggas, Badak, di sini, hari ini.

Zainab berkata, dia mengetahui kejadian menimpa cucu kesayangan jam 6 petang semalam.

Jenazah Aiman selamat tiba di rumah Zainab jam 8.00 malam dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Mukim Badak, Melawi selepas Isyak.

Zainab berkata, cucunya juga kelihatan ceria ketika pulang ke kampung selama tiga hari.

Sementara itu, jenazah kesemua mangsa selamat tiba di Kelantan diiringi tiga trak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke kediaman keluarga masing-masing di Kampung Renggas, Badak dan Kampung Kuau, Bachok serta satu di Kampung Wakaf, Pasir Puteh.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 January 2024 @ 8:40 PM
Zainab menahan sebak dan menunjukkan gambar cucunya Aiman Syafiq yang ditemukan lemas bersama dua rakannya ketika ditemui di Kampung Rengas, Badak hari ini.FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Zainab menahan sebak dan menunjukkan gambar cucunya Aiman Syafiq yang ditemukan lemas bersama dua rakannya ketika ditemui di Kampung Rengas, Badak hari ini.FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR