AL-SULTAN Abdullah  berkenan beramah mesra bersama kanak-kanak yang menyertai Kejohanan Bola Sepak Akar Umbi Bawah 12 Tahun sempena Piala Sultan Pahang 2022.
AL-SULTAN Abdullah berkenan beramah mesra bersama kanak-kanak yang menyertai Kejohanan Bola Sepak Akar Umbi Bawah 12 Tahun sempena Piala Sultan Pahang 2022.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Sejak di alam persekolahan, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sering tampil sebagai putera raja berjiwa rakyat yang terlibat secara aktif dalam bidang sukan.

Atas minat dan rasa cinta yang mendalam terhadap sukan itulah yang membuatkan Al-Sultan Abdullah membabitkan diri sebagai atlet terutamanya dalam bola sepak, polo berkuda dan hoki, dengan lebih selesa 'meninggalkan' status raja.

Al-Sultan Abdullah juga dikenali sebagai raja yang cukup aktif dalam pentadbiran sukan dengan memegang beberapa jawatan utama, antaranya sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), ketika bergelar Tengku Mahkota Pahang.

Biarpun sebagai putera raja, Seri Paduka sebagai pemimpin badan sukan berprestij itu tetap tidak terkecuali daripada menerima kritikan, terutama daripada peminat dan penganalisis sukan tanah air namun baginda bersikap terbuka dan profesional dengan menganggap ia satu pandangan membina demi masa depan bola sepak negara.

Datuk Dr Johnson Fernandez, bekas wartawan sukan dengan pengalaman lebih 30 tahun bersama akhbar National Echo, The Star dan New Straits Times Press (NSTP) berkata, Seri Paduka sentiasa terbuka untuk menerima pandangan dan keperibadian itu diwarisi daripada Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah.

AL-SULTAN Abdullah  berkenan memberi ucapan tahniah kepada  pemain hoki negara selepas   menewaskan Jepun dengan jaringan 4-2 pada Perlawanan Piala Asia 2013  di Stadium Azlan Shah.
AL-SULTAN Abdullah berkenan memberi ucapan tahniah kepada pemain hoki negara selepas menewaskan Jepun dengan jaringan 4-2 pada Perlawanan Piala Asia 2013 di Stadium Azlan Shah.

Johnson, yang mengenali Seri Paduka sekitar 1995 ketika Al-Sultan Abdullah bersama FAM, dan memegang jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) berkata, baginda tidak pernah menyimpan dendam terhadap kritikan yang dibuat menerusi penulisan berita.

"Mungkin ada yang baginda tidak setuju dengan apa yang kami tulis namun baginda tidak murka dengan kami kerana faham apabila kami tulis berita, ia bukannya ada niat buruk tersembunyi, kami tulis dengan jujur dan baginda menghargainya.

"Pernah sekali saya bersama baginda semasa mengikuti satu siri jelajah kejohanan bola sepak, baginda panggil saya bertanyakan pandangan, pastinya (pandangan saya) jelas berbeza dengan apa yang ada di fikiran baginda. Baginda mengucapkan terima kasih kerana secara jujur saya berikan input yang diperlukan, dan bukannya pandangan yang baik-baik untuk didengar sahaja, baginda tidak mahu mendengar perkara-perkara yang hanya 'enak' didengar semata-mata," katanya.

AL-SULTAN Abdullah mengumumkan menawar diri untuk bertanding dalam jawatan Exco Fifa pada pemilihan 2015.
AL-SULTAN Abdullah mengumumkan menawar diri untuk bertanding dalam jawatan Exco Fifa pada pemilihan 2015.

Johnson, yang kini berkhidmat sebagai Pengarang Urusan Revon Media berkata, ketika menghadiri majlis gala Sports Flame yang menghimpunkan legenda sukan, jurulatih, pegawai dan pengamal media dari era 1960-an hingga awal 80-an baru-baru ini, Al-Sultan Abdullah turut berkongsi, bahawa pandangan yang konstruktif sebenarnya membantunya membina karakter yang lebih utuh.

Sementara itu, Datuk V Radhakrishnan, seorang pentadbir sukan tempatan yang pernah berkhidmat di bawah Al-Sultan Abdullah ketika baginda menjadi Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) (dahulu dikenali sebagai Persekutuan Hoki Malaysia) berkata, baginda sentiasa mendengar pandangan semua ahli majlis dalam mesyuarat sebelum membuat keputusan penting.

Beliau yang mengenali Al-Sultan Abdullah hampir 20 tahun berkata, pengalaman baginda dalam mentadbir dan menguruskan isu dan politik dalam sukan telah membantu baginda menangani konflik politik negara pada 2020 hingga 2022.

"Tuanku sangat mencintai sukan. Baginda pernah menyatakan sukan akan selalu menjadi sebahagian daripada darah dagingnya kerana sukan mengajar banyak disiplin, cara mengendalikan isu dan sebagainya. Sebagai seorang pentadbir sukan, Tuanku telah menghadapi banyak isu dan baginda belajar bagaimana untuk mengatasinya.

"Ini membantu baginda membuat keputusan lebih baik, terutama semasa konflik politik...kerana politik dan sukan tidak boleh dipisahkan. Tuanku banyak belajar daripada sikap atlet, pegawai sukan dan pegawai kementerian semasa berkhidmat dalam sukan," katanya.

Radhakrishnan turut menyifatkan Al-Sultan Abdullah adalah seorang Raja yang rendah diri dan mudah didekati selain masih aktif bersenam dan melakukan aktiviti kecergasan untuk menjaga kesihatan.

Beliau juga berkongsi satu sikap terpuji Seri Paduka dengan sering memberikan ucapan tahniah kepada wira atau wirawati atas kejayaan mereka di peringkat antarabangsa.

"Baginda juga mengucapkan takziah melalui platform media sosial rasmi Istana Negara jika bekas atlet negara meninggal dunia, satu penghargaan besar buat keluarga sukan negara," katanya.

Sepanjang lebih tiga dekad dalam pentadbiran sukan, Al-Sultan Abdullah pernah memegang jawatan utama, antaranya sebagai Presiden PBNP pada 1984, seterusnya Presiden Seumur Hidup PBNP sehingga 2005. Baginda juga pernah menjawat kedudukan sebagai Naib Presiden FAM.

Seri Paduka menjadi Timbalan Presiden FAM dari 1992-2007, kembali memegang jawatan itu dari 2010-2014, dan kemudian memegang pucuk kepimpinan sebagai Presiden FAM dari 2014-2017.

 AL-SULTAN Abdullah   cekap mengawal kuda ketika bermain polo di Royal Pahang Polo Club pada 2013.
AL-SULTAN Abdullah cekap mengawal kuda ketika bermain polo di Royal Pahang Polo Club pada 2013.

Al-Sultan Abdullah juga pernah berkhidmat sebagai Naib Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dari 2002-2015 dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif FIFA dari 2015-2019.

Seri Paduka juga dianugerahkan AFC Diamond of Asia iaitu anugerah tertinggi bola sepak Asia sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan baginda selama lebih tiga dekad dalam arena bola sepak di benua ini.

Baginda turut dilantik sebagai Ahli Kehormat FIH (Persekutuan Hoki Antarabangsa) pada 2021, Ahli Lembaga Eksekutif FIH pada 2012, Penaung Diraja Persekutuan Hoki Asia (AHF) sejak 2019, selain pernah memegang pucuk kepimpinan AHF dari 2014-2019 dan KHM dari 2008 hingga 2015.

Sementara itu, bekas pemain kebangsaan dan Pahang era 80-an dan 90-an, Datuk Zainal Abidin Hassan berkata, amat penting untuk mempunyai seorang pemimpin seperti Al-Sultan Abdullah yang mempunyai minat mendalam terhadap sukan terutamanya bola sepak.

Zainal Abidin yang turut memiliki pengalaman luas sebagai jurulatih, berkongsi bahawa baginda sentiasa mengingatkan semua pemain supaya mengekalkan disiplin tinggi pada setiap masa.

"Saya boleh dikatakan lama di bawah pentadbiran Seri Paduka di pasukan Pahang dan di peringkat kebangsaan. Komen, nasihat ataupun idea diberi oleh Tuanku memang betul, bermakna Tuanku memahami bola sepak secara mendalam.

"Pada zaman saya bermain, boleh dikatakan setiap petang Tuanku akan berangkat melihat latihan, secara automatik kita tahu, bukan takut, tetapi tak nak buat kesilapan kerana kita memiliki ketua yang memang mahir dalam hal bola sepak," katanya.

Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan membaca surah Yasin pada Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Doa Selamat Sempena Tamat Pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI di Surau Utama Istana Negara. FOTO BERNAMA
Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan membaca surah Yasin pada Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Doa Selamat Sempena Tamat Pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI di Surau Utama Istana Negara. FOTO BERNAMA

'Tuanku hanya rehat dua jam saja'

Kuala Lumpur: Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah cukup dikenali rakyat dengan hobi memasak malah pelbagai video memperlihatkan aksi bersahaja Seri Paduka di dapur tular menerusi platform media sosial.

Namun satu peristiwa yang tidak dipertontonkan kepada umum ialah kejadian malam sambutan Hari Raya Aidilfitri pada 2022 yang disifatkan 'mengejut' sehingga menyebabkan Tunku Azizah 'tidak senang duduk' kerana belum menyiapkan juadah untuk dihidangkan pada 1 Syawal yang jatuh pada 2 Mei.

Sebelum itu Aidilfitri diramalkan disambut pada 3 Mei 2022 namun pengumuman tarikh Aidilfitri pada malam 1 Mei 2022 oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad menyebabkan suasana di dapur Istana Negara turut sama bertukar panik.

Peristiwa itu dikongsikan tukang masak Istana Negara Pazlina Saleh, 49, antara 10 tukang masak bersama-sama membantu Tunku Azizah bertungkus lumus di dapur bagi menyediakan juadah untuk sambutan Aidilfitri itu.

"Ada yang mendakwa kami bekerja di Istana Negara mungkin dapat tahu lebih awal tarikh hari raya, jadi mudah bahan nak disediakan. Itu tidak benar, sebaliknya kami semua menunggu pengumuman itu dan apabila diumumkan esok raya, semua cef kelam-kabut sebab bahan belum siap lagi.

"Mujur Tuanku (Tunku Azizah) sangat memahami dan tidak cerewet, jadi apa bahan yang ada kami sediakan untuk Tuanku masak. Malam itu Tuanku bersengkang mata hingga 4 pagi menyiapkan juadah Hari Raya kerana menunya banyak, jadi setiap seorang cef sediakan satu menu kerana Tuanku mahu menjamu kira-kira 300 tetamu kenamaan," katanya.

Pazlina Saleh
Pazlina Saleh

Tukang masak pastri Istana Negara Shahril Hidayatullah Mat Nawi, 35, pula menyifatkan peristiwa malam raya itu sungguh meriah bagaikan sebuah keluarga yang sibuk menyiapkan juadah istimewa Aidilfitri.

Biarpun memegang gelaran Raja Permaisuri, Tunku Azizah sanggup 'menyingsing lengan' dan berhempas pulas turun naik di dapur peribadi baginda dan dapur Istana Negara, memasak sendiri juadah antaranya rendang ayam dan daging, dendeng daging, laksa Johor, harissa ayam, kuah kacang, soto ayam, ketupat palas dan pelbagai jenis kek.

Menurut Shahril Hidayatullah, Tunku Azizah sedikit pun tidak meluahkan rasa penat sedangkan keesokan pagi baginda perlu mengiringi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang dijadual menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Wilayah Persekutuan seawal 8 pagi.

Malah pasangan diraja itu kemudian berkenan meraikan tetamu termasuk Jemaah Menteri serta perwakilan asing pada Majlis Ramah Mesra Hari Raya Aidilfitri di Istana Negara.

"Kalau dihitung, Tuanku hanya sempat berehat selama dua jam sahaja sebelum bersiap pada subuh dan seterusnya ke Masjid Wilayah untuk solat sunat Aidilfitri, kemudian kembali ke Istana Negara untuk menjamu tetamu pula," katanya.

Tidak hanya di dapur, Tunku Azizah sebaliknya turut terlibat dalam memastikan dekorasi Istana Negara pada sambutan 1 Syawal itu dalam keadaan terbaik, termasuk gubahan bunga di anjung utama dan dewan santapan tersedia untuk meraikan kedatangan tetamu.

"Keadaan malam itu tidak tentu arah sebab masing-masing terkejut esok raya, tetapi Tuanku beri arahan sangat mudah dan jelas. Jadi saya bersama 20 kundang yang lain segera menyiapkan segala kelengkapan dekorasi bersama petugas dari empat kedai bunga berkenaan.

"Kami hias mengikut cita rasa Tuanku dan kebiasaannya gubahan bunga dan dekorasi lain lebih kepada warna putih dan pastel kerana putih merupakan warna kegemaran Tuanku dan bunga yang wajib ada ialah orkid yang sangat disukai Tuanku," katanya.

Raja Permaisuri Agong akan berangkat pulang ke Pahang mengiringi Al-Sultan Abdullah yang akan menamatkan pemerintahan berkuat kuasa 30 Januari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 January 2024 @ 7:02 AM