SUASANA di pekarangan kuil Batu Caves pada tinjauan sempena Hari Thaipusam. FOTO Aswadi Alias
SUASANA di pekarangan kuil Batu Caves pada tinjauan sempena Hari Thaipusam. FOTO Aswadi Alias
Suharmin Yusuf

Gombak: Aliran trafik di beberapa laluan alternatif sekitar Batu Caves di sini, lancar walaupun dibanjiri pengunjung menjelang sambutan Thaipusam serta penutupan beberapa laluan.

Tinjauan pada 2 petang semalam, situasi semasa aliran trafik di sekitar kawasan mengarah ke Batu Caves kini masih dalam keadaan terkawal.

Turut dilihat beberapa anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) mengawal keadaan lalu lintas di beberapa titik lokasi laluan yang dijangka akan mengalami kesesakan.

Dalam pada itu, pihak polis meminta kerjasama pengguna jalan raya untuk merancang perjalanan dan memilih laluan alternatif untuk mengelakkan kesesakan lalulintas.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan tujuh jalan di sekitar kawasan Batu Caves ditutup bermula 10 malam (22 Januari) hingga 27 Januari bagi memastikan kelancaran lalu lintas sepanjang perayaan Thaipusam yang berlangsung pada 25 Januari nanti.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan penutupan jalan terbabit bergantung kepada situasi semasa keadaan lalu lintas.

Berdasarkan jumlah pengunjung tahun lalu, dianggarkan antara 1.5 hingga dua juta pengunjung akan menghadiri perayaan Thaipusam di Batu Caves.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2024 @ 3:55 PM