KUMPULAN Batukam City dari Kolej Matrikulasi KEelantan dinobatkan sebagai pemenang tempat pertama pada pertandingan Akhir GreenCity AR iPad Challenge: Shaping Sustainable Urban Cities di sini, semalam. FOTO Rohanis Shukri
KUMPULAN Batukam City dari Kolej Matrikulasi KEelantan dinobatkan sebagai pemenang tempat pertama pada pertandingan Akhir GreenCity AR iPad Challenge: Shaping Sustainable Urban Cities di sini, semalam. FOTO Rohanis Shukri
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Keunikan Projek City Batukam yang dibentangkan KMKt Cemerlang dari Kolej Matrikulasi Kelantan berjaya merangkul johan dalam pertandingan 'GreenCity AR iPad Challenge: Shaping Sustainable Urban Cities' anjuran UDA Holdings Berhad (UDA).

Johan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM12,000.

Sementara kumpulan GreenScape City dan Polycity Builders dari Politeknik Ungku Omar (PUO) masing-masing merangkul naib johan dan tempat ketiga menerusi projek Pioneering Sustainable Urban Living dan projek Labu Sayong Eco City.

Naib johan dan tempat ketiga masing-masing menerima RM9,000 dan RM6,000 manakala penerima saguhati mendapat RM1,800 setiap kumpulan.

Penganjuran pertandingan reka bentuk bandar mampan dalam 'Augmented Reality' atau teknologi realiti terimbuh (AR) itu menggunakan peranti Apple iPad bermula 14 Oktober hingga 5 November tahun lalu.

Seramai 242 pelajar dari 25 pusat pengajian tinggi tempatan mengambil bahagian dalam pertandingan dengan kerjasama antara UDA dengan Apple Professional Learning Malaysia (APLM) dan UKM Pakarunding.

Sementara, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Datuk Mohd Salem Kailany berkata,

pertandingan yang julung kali diadakan itu bertujuan memberi pendedahan dan pengalaman baharu kepada pelajar untuk memanfaatkan teknologi digital interaktif dalam bidang reka bentuk.

Katanya, ia menggalakkan proses pemikiran reka bentuk kreatif dan inovatif menerusi penerapan aspek digitalisasi serta kelestarian itu juga selaras satu daripada 17 Matlamat Pembangunan Mampan atau Sustainable Development Goal (SDG) iaitu 'Menjadikan petempatan inklusif, selamat, berdaya tahan dan mampan'.

Menurutnya, selain terus menumpukan kepada dalam pembangunan hartanah dan pengurusan aset negara, UDA turut komited menggalas peranan sebagai agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

"Selain itu, UDA turut mengimbangi antara aktiviti pembangunan dengan kemampanan alam sekitar dan ekosistem serta menyambut baik aspirasi kerajaan menuju ke arah kelestarian negara menjelang 2050.

"Penganjuran pertandingan ini juga antara inisiatif UDA menyokong hasrat kerajaan dan juga bertepatan dengan matlamat kelestarian UDA," katanya ketika merasmikan Majlis 'Showcase and Final Pitching Event - GreenCity AR iPad Challenge: Shaping Sustainable Urban Cities, di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Pegawai Operasi Perkhidmatan Korporat UDA, Reza Huzairi Zainudin.

Mohd Salem berkata, inovasi membangunkan 'AR City Model' bagi pembangunan di atas tanah milik UDA di Lot 44617, Fasa 4 Bandar Tun Hussein Onn (BTHO), Mukim Cheras, Daerah Hulu Langat, Selangor itu mampu menyumbang kepada pembangunan mampan dan seterusnya mewujudkan bandar lestari untuk kesejahteraan komuniti.

"Penganjuran pertandingan turut bertujuan merealisasikan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) UDA iaitu UDA Cares Educational yang memfokuskan kepada pengembangan bakat generasi muda yang mana pelajar berpeluang mengasah bakat dalam pembangunan bandar mampan menerusi perancangan dan pengurusan bandar," katanya.

Menerusi pertandingan itu, peserta dikehendaki menghadiri sesi taklimat berkenaan lokasi pembangunan bersama UDA serta sesi pembelajaran menerusi webinar bersama tenaga pengajar APLM dan UKM Pakarunding sebelum memulakan proses mencipta reka bentuk bandar mampan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 January 2024 @ 7:22 PM