TIMBALAN Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Saraswathy Kandasami dan Mohd Salem melancarkan Sukuk Uda Holdings 2023.
TIMBALAN Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Saraswathy Kandasami dan Mohd Salem melancarkan Sukuk Uda Holdings 2023.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Uda Holdings Berhad (Uda), peneraju pembangunan hartanah dan pengurusan aset merangkumi pelaburan dan pengurusan harta, hospitaliti serta pengurusan fasiliti melancarkan Sukuk Wakalah pertamanya bernilai RM1 bilion.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, langkah itu tepat pada masanya memandangkan negara sedang melalui fasa pemulihan ekonomi yang kini menekankan kepada aspek kelestarian perniagaan.

Katanya, Sukuk Wakalah ini menjadi sejarah penting kerana Uda menjadi organisasi pertama yang menggunakan definisi Pelaburan Mampan Dan Bertanggungjawab (SRI) untuk projek pembangunan hartanah wakaf.

"Usaha menerbitkan Sukuk Wakalah ini adalah seiring dengan tema, 'Membangun Malaysia Madani' yang secara spesifiknya merujuk kepada salah satu daripada empat teras strategik utama yang disenaraikan iaitu, 'Membina Semula Ekonomi.'

"Kejayaan menerbitkan Sukuk Wakalah ini akan memastikan kelangsungan atau kemampanan Uda untuk terus berkhidmat dan menyumbang kepada kemakmuran ekonomi negara," katanya di majlis pelancaran Sukuk Wakalah Uda di sini, semalam.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Uda, Datuk Sr Mohd Salem Kailany berkata, untuk penerbitan Sukuk Wakalah ini, MARC Ratings Berhad memberi penarafan MARC-1IS/AA-IS.

"Ini berdasarkan rekod prestasi membanggakan Uda dalam pembangunan hartanah negara, imbangan tunai yang kukuh hasil daripada pengurusan modal yang berkesan serta sumber pendapatan berulang daripada hartanah yang dilaburkan," katanya.

Beliau berkata, dana daripada penerbitan Sukuk Wakalah ini akan digunakan, antara lainnya, sebagai modal pusingan untuk pembiayaan projek pembangunan komersial, perumahan, perindustrian serta projek wakaf.

Menurutnya, sealiran dengan perkembangan global yang menitikberatkan faktor kelestarian dalam setiap langkah organisasi, Sukuk Wakalah Uda yang akan diterbitkan ini turut mengguna pakai Rangka Kerja Sukuk Kelestarian yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

"Secara khususnya, ia merangkumi Piawaian Bon Hijau Asean, Piawaian Bon Sosial Asean dan Piawaian Bon Lestari Asean.

"Selain itu, ia juga diselaraskan dengan Prinsip Bon Hijau, Prinsip Bon Sosial dan Garis Panduan Bon Lestari yang dikeluarkan oleh Persatuan Modal Antarabangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mac 2023 @ 6:01 AM