Tan Sri Abang Johari Abang Openg ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Eden Damai Wellness di Damai Lagoon Resort di Santubong, hari ini. FOTO NADIM BOKHARI
Tan Sri Abang Johari Abang Openg ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Eden Damai Wellness di Damai Lagoon Resort di Santubong, hari ini. FOTO NADIM BOKHARI
Mohd Roji Kawi


Kuching: "Tidak perlu saya komen, kerana itu kuasa Yang di-Pertuan Agong," itu reaksi Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berhubung spekulasi pelantikan Yang di-Pertua Negeri Sarawak yang baharu.

Abang Johari enggan mengulas lanjut isu berkaitan termasuk peletakan jawatan Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebagai Speaker Dewan Negara, semalam.

Menurutnya, beliau tidak dapat mengulas isu pelantikan Yang di-Pertua Negeri secara terbuka kerana ia kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Jadi saya tidak komen lebih daripada itu kerana itu hak mutlak Yang di-Pertuan Agong," katanya ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Eden Damai Wellness di Damai Lagoon Resort di Santubong, hari ini.

Ketika ditanya adakah Wan Junaidi benar-benar meletak jawatan kerana bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) itu turut berdiam diri selepas laporan mengenainya tular di media sosial semalam.

Abang Johari, turut enggan mengulas lanjut.

"Tanya dengan beliau. Minta maaflah, saya tidak dapat memberi komen lebih daripada itu," katanya.

Semalam, portal The Malaysian Insight melaporkan bahawa Wan Junaidi, 78, meletak jawatan sebagai Speaker Dewan Negara.

Peletakan jawatan itu dikatakan kerana bekas Ahli Parlimen Santubong dan Ahli Parlimen Batang Lupar itu sedang bersiap-sedia untuk menyandang jawatan Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 January 2024 @ 7:06 PM