FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Pengguna di sekitar bandar raya ini dan Tuaran dijangka menikmati bekalan air yang lebih baik selepas kerja penyambungan paip di Loji Rawatan Air (LRA) Telibong 2, Fasa Dua di Tuaran siap sebelum akhir bulan ini.

Ketika ini pengguna di kedua-dua kawasan masih berdepan gangguan bekalan berikutan kadar penyaluran air dari loji yang memproses air Sungai Tuaran itu berada di bawah tahap permintaan.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, loji baharu itu sudah siap dan beroperasi sejak bulan lalu, namun belum dapat menyalurkan bekalan yang mencukupi berikutan masalah paip.

Katanya, penyambungan paip dari loji itu perlu bagi menyalurkan air tambahan kepada pengguna khususnya di kawasan utara dan pusat bandar raya Kota Kinabalu serta daerah Tuaran.

"Saya difahamkan kerja penyambungan paip akan siap sebelum hujung Januari ini. Apabila siap kelak, tambahan isi padu air ke sistem agihan bekalan sedia ada boleh mencapai ke 130 juta liter sehari (MLD).

"Apabila ini dapat dicapai, bekalan air di kawasan utara Kota Kinabalu, pusat bandar raya Kota Kinabalu dan Tuaran boleh menjadi lebih baik," katanya dalam kenyataan selepas tinjauan ke loji berkenaan di Tuaran, semalam.

Sejak tahun lalu, pengguna di bandar raya ini dan Tuaran mengalami masalah air yang kritikal hingga menjejaskan rutin harian termasuk pelajar di Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang sebelum ini mengadu tidak mandi berhari-hari disebabkan ketiadaan air.

Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata, pengoperasian LRA Telibong 2 Fasa Dua dan siapnya penyambungan paip di loji itu nanti turut memberi kesan kepada pengguna di daerah Putatan.

"Kesannya juga akan dapat dirasai di daerah Putatan dengan penyelarasan agihan air yang akan dilakukan kelak.

"Selain itu, kami juga berbincang mengenai pilihan untuk jajaran paip seterusnya bagi mengoptimumkan pengeluaran isi padu air terawat selaras dengan kapasiti reka bentuk loji di Telibong iaitu 180 MLD," katanya.

Selain LRA Telibong 2, satu lagi loji yang turut membekal air bersih ke sekitar Kota Kinabalu dan Tuaran ialah LRA Telibong 1 yang mempunyai kapasiti sehingga 80 MLD.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam, Datuk Seri Fadillah Yusof turut dijadual mengadakan tinjauan di LRA Telibong 2, tengah hari esok.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 January 2024 @ 3:59 PM