SHAHELMY Yahya (kanan) melancarkan perkhidmatan terbaharu Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), iaitu aplikasi MyJANS di Kota Kinabalu. FOTO Izwan Abdullah
SHAHELMY Yahya (kanan) melancarkan perkhidmatan terbaharu Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), iaitu aplikasi MyJANS di Kota Kinabalu. FOTO Izwan Abdullah
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) bekerjasama dengan bahagian pengurusan teknikal Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi mengawal tekanan air yang disalurkan di kampus universiti itu, di sini.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, langkah itu bagi memastikan air yang disalurkan pihak JANS tidak mengalami gangguan apabila sampai ke kampus UMS.

"Kita bekerjasama dengan bahagian pengurusan teknikal UMS untuk mereka mengawal tekanan air dalam kampus kerana kampus UMS bukan kecil, kawasannya besar dan mempunyai permukaan yang berbukit," katanya ditemui selepas melancarkan aplikasi MyJANS, di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas langkah jangka pendek yang dilaksanakan JANS bagi membantu mengurangkan bebanan pelajar UMS yang ketika ini berdepan kekurangan bekalan air.

Masalah itu berpunca daripada ketidakcukupan bekalan dari Loji Rawatan Air (LRA) Telibong di Tuaran untuk memenuhi permintaan pengguna, bukan saja di UMS malah di seluruh kawasan utara bandar raya Kota Kinabalu.

Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata, pada masa sama penghantaran air menggunakan lori tangki juga dilaksanakan sehingga bekalan di universiti itu menjadi stabil.

Beliau mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa bekalan air yang masuk ke tangki UMS sepatutnya menjadi stabil dengan beroperasinya LRA Telibong 2 Fasa 2 (T2P2) mulai bulan lalu.

Bagaimanapun, katanya, perkara itu tidak berlaku memandangkan masih ada kerja perpaipan yang perlu disiapkan sebelum kapasiti tambahan sebanyak 40 juta liter sehari (MLD) dapat disalurkan sepenuhnya.

"Apabila kerja-kerja perpaipan sedikit di Telibong dapat kita selesaikan sebelum hujung bulan ini, maka nanti jumlah air boleh bertambah di UMS," katanya.

Bagaimanapun, katanya perkara itu belum mengambil kira isu lain seperti penyambungan air secara haram di sepanjang sistem perpaipan dari LRA Telibong yang turut memberi kesan kepada bekalan air di bandar raya ini.

Mengulas lanjut, Shahelmey berkata, ketika ini penyaluran air dari LRA T2P2 dilakukan secara berperingkat bermula dari enam MLD ke 14 MLD, 15 MLD dan akhir sekali pada kapasiti penuh 40 MLD apabila kerja perpaipan di loji berkenaan siap sepenuhnya.

"Kita menyasarkan 40 MLD tambahan untuk utara Kota Kinabalu tetapi dari Disember lalu hingga sekarang untuk mencapai 40 MLD itu perlu sedikit kerja teknikal, jadi kita dapat pertambahan berperingkat dari enam MLD ke 14 MLD, 15 MLD dan seterusnya 40 MLD," katanya.

Berdasarkan rekod JANS pada Disember lalu, UMS hanya menerima bekalan 2.7 MLD berbanding keperluan kampus berkenaan yang dianggarkan 2.98 MLD, khususnya untuk kegunaan kira-kira 7,000 pelajar di tiga kolej kediaman dalam kampus berkenaan.

Keadaan itu menimbulkan krisis air hingga ada pelajar sanggup tidak mandi berhari-hari atau terpaksa mencari air di luar kampus terutama untuk membasuh pakaian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 January 2024 @ 3:20 PM