- Foto hiasan
- Foto hiasan
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Perbuatan khianat seorang lelaki menendang bahagian hadapan kereta milik seorang pengguna jalan raya mengundang padah apabila dia didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini, tadi.

Tertuduh, Haris Darus, 51, dikenakan denda itu selepas mengaku bersalah dan disabitkan dengan pertuduhan oleh Majistret Nabihah Mohd Noor.

Majistret Nabihah turut memerintahkan tertuduh yang menetap di Merlimau, Jasin, dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan Haris didapati dengan niat curang melakukan khianat dengan menyebabkan kemek di bahagian depan sebelah kanan kereta mangsa, Arde Fadrizal Samsudin, 39, di hadapan bangunan Am Assuarance, Jalan Merdeka, dalam daerah Melaka Tengah, pada 6 September lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 426 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasaruddin menjalankan pendakwaan kes manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Terdahulu, Muhamad Ehsan memohon hukuman penjara setimpal dikenakan terhadap tertuduh kerana kesalahan yang dilakukan serius.

Tertuduh bagaimanapun merayu dikenakan hukuman denda ringan kerana tertuduh menanggung anak yang ramai serta cucu.

Dia mendakwa bertindak sedemikian selepas berang apabila pengadu menghimpit keretanya serta meludah mukanya.

Berdasarkan fakta kes, pengadu mengalami kerugian RM500 akibat kerosakan dialami akibat perbuatan tertuduh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 September 2022 @ 5:14 PM