PENDUDUK mengambil bekalan air daripada sumber mata air berikutan gangguan air yang dijangka berterusan selepas paip pecah di Sungai Perai. FOTO Aminah Yusof
PENDUDUK mengambil bekalan air daripada sumber mata air berikutan gangguan air yang dijangka berterusan selepas paip pecah di Sungai Perai. FOTO Aminah Yusof
Siti Aminah Mohd Yusof


Bayan Lepas: Isu gangguan air membabitkan 120,000 penduduk Daerah Barat Daya dijangka berlarutan lebih lama apabila kerja pembaikan paip pecah di dasar Sungai Perai, dekat sini berdepan masalah sejak pagi hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Ir K Pathmanathan, berkata operasi kimpalan bawah air selesai namun pihaknya mengesan satu lagi kebocoran apabila operasi mengepam masuk air dimulakan pada jam 11.40 pagi.

"Kebocoran dikesan dengan air memancut di permukaan sungai. Walaupun berlaku kebocoran dan kehilangan air, PBAPP akan terus mengepam air terawat melalui saluran paip 1,350 milimeter itu ke kawasan Barat Daya.

"Pengguna Barat Daya harus terus menerima bekalan air walaupun pada tekanan air rendah sehingga jam 8 malam ini.

"Kami memohon pengguna air terbabit mengisi semula tangki dan bekas air mereka dalam tempoh itu," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ir Pathmanathan berkata, bantuan kecemasan membabitkan lebih daripada 10 tangki air akan dikerahkan ke kawasan hujung rangkaian paip agihan dan kawasan lebih tinggi petang ini.

TANGKAP layar tular memaparkan kereta merempuh paip air milik PBAPP di Jalan Pajak Song. FOTO tular
TANGKAP layar tular memaparkan kereta merempuh paip air milik PBAPP di Jalan Pajak Song. FOTO tular

Beliau berkata operasi kimpalan bawah air dijadual bermula 8.30 malam ini selepas saluran paip ditutup dengan plat.

Menurutnya, PBAPP mensasarkan untuk menormalisasikan bekalan air kepada pengguna terjejas sebelum jam 8 pagi esok.

Seorang penduduk Flat Sri Bayan Mas Jalan Permatang Damar Laut di sini, Aidah mundar, 48, berkata gangguan yang pada asalnya hanya dijangka berlaku selama 24 jam kini berlarutan lebih 40 jam dengan semua air yang disimpan sudah habis sejak pagi tadi.

"Mula-mula mereka kata gangguan air hanya jam 10 malam hari Selasa hingga 10 malam hari Rabu.

"Selepas itu kata antara jam 1 hingga 3 pagi akan pulih sebelum kata masalah itu akan selesai jam 1.30 tengah hari.

"Terbaharu, dapat tahu pula paip yang pecah itu bocor semula. Flat memang ada tangki dan kami ada tadah air tetapi semuanya sudah habis kerana keluarga kami ramai ditambah dengan musim cuti sekolah semua anak-anak berada di rumah," kata suri rumah itu.

Sementara, Tok Siak Masjid Jamek Kampung Binjai, Najib Darbi, 57, berkata ratusan penduduk berpusu-pusu mengambil bekalan sumber mata air di masjid berkenaan sejak malam tadi dan dijangka lebih ramai akan datang setelah selepas masalah baharu itu diumumkan.

"Datanglah ambil sebanyak mana yang larat angkat. Mata air ini bersih selain penyelidik dari Universiti Sains Malaysia (USM) pernah menyatakan mata air itu berada dalam kategori kelas satu," katanya.

Seorang lagi penduduk Zakaria Arshad, 62, berkata dia sanggup berulang-alik lebih 10 kali untuk mengambil bekalan air termasuk membeli bekas simpanan air tambahan kerana bimbang isu gangguan air itu akan berlarutan lebih lama.

Sementara itu, penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Maz, 43, berkata dia terpaksa menginap di hotel di kawasan Bayan Baru di sini selepas berdepan kesukaran mendapatkan bekalan air yang perlu diangkut agak jauh dari rumahnya di Sungai Ara di sini.

"Saya tiada pilihan kerana anak-anak masih kecil, suami bekerja jauh dan ibu pula warga emas.

"Kami tidak mandi sejak pagi, saya dapat tahu ada juga kawan-kawan sanggup hantar keluarga pulang ke kampung berdekatan seperti di Sungai Petani, Kedah," kata peniaga dalam talian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2023 @ 6:10 PM