PELAJAR gembira mendapat kurniaan komputer riba dari Yayasan Raja Zarith Sofia negeri Johor. FOTO Ihsan THE ROYAL JOHOR
PELAJAR gembira mendapat kurniaan komputer riba dari Yayasan Raja Zarith Sofia negeri Johor. FOTO Ihsan THE ROYAL JOHOR
Omar Ahmad


Johor Bahru: Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah yakin penerima bantuan komputer riba yang terdiri daripada pelajar dapat memanfaatkan kurniaan berkenaan sebaik mungkin.

Menerusi hantaran terbaru di Facebook The Royal Johor, baginda berharap kurniaan itu dapat membantu melancarkan proses pembelajaran di rumah dan sekolah.

Baginda yang memahami cabaran ekonomi semasa serta beban yang ditanggung golongan ibu bapa, turut berkenan agar dikurniakan komputer riba kepada pelajar-pelajar berpotensi tinggi daripada keluarga B40 yang tersenarai di dalam Senarai E-Kasih Daerah Johor Bahru.

"Saya amat berharap kurniaan komputer riba ini dapat membantu melancarkan proses pembelajaran baik di rumah mahu pun di sekolah demi meraih kecemerlangan akademik untuk masa depan yang lebih cerah," titahnya.

Baginda yang juga Pengerusi Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor juga amat prihatin terhadap isu-isu dan cabaran semasa pendidikan termasuk proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Pada 3 Februari lalu, Sebanyak 53 komputer riba diedarkan kepada penerima pada fasa pertama.

Senarai pelajar yang adalah hasil perbincangan bersama pihak sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah Johor Bahru, Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan juga Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor.

Seterusnya, fasa kedua sesi penyerahan komputer riba yang memanfaatkan 100 penerima daripada Daerah Johor Bahru dimulakan pada 24 Februari lalu.

Ia membabitkan pelajar-pelajar pelbagai bangsa daripada Sekolah Menengah (P) Sultan Ibrahim, SMK Taman Tun Aminah, SMK Dato' Penggawa Timur, SMK Taman Universiti 1 dan juga beberapa sekolah lain di daerah Johor Bahru.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mac 2021 @ 4:13 PM