Ho Kok Keong, 62, dan suri rumah, Koh Orchid, 56,(tiada dalam gambar) diperintah oleh Mahkamah Sesyen untuk membela diri terhadap pertuduhan menerima deposit RM364,000 daripada orang awam tanpa lesen sah sembilan tahun lalu. FOTO ASYRAF HAMZAH
Ho Kok Keong, 62, dan suri rumah, Koh Orchid, 56,(tiada dalam gambar) diperintah oleh Mahkamah Sesyen untuk membela diri terhadap pertuduhan menerima deposit RM364,000 daripada orang awam tanpa lesen sah sembilan tahun lalu. FOTO ASYRAF HAMZAH
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Sepasang suami isteri diperintah membela diri oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan menerima deposit RM364,000 daripada orang awam tanpa lesen sah, sembilan tahun lalu.

Hakim Mohd Kafli Che Ali memutuskan demikian terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat telekomunikasi, Ho Kok Keong, 62, dan isterinya, Koh Orchid, 56, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

"Tertuduh mempunyai tiga pilihan untuk membela diri iaitu berdiam diri dan tidak menjawab pertuduhan, memberi keterangan secara tidak bersumpah dari kandang tertuduh tanpa disoal balas oleh pendakwaan atau memberi keterangan secara bersumpah dari tempat duduk saksi dengan pendakwaan diberikan peluang untuk mengemukakan soalan semasa pemeriksaan balas," katanya.

Peguam Sean Dudley mewakili kedua-dua tertuduh berkata, setakat ini pasangan itu akan memberi keterangan secara bersumpah dari tempat duduk saksi.

Mohd Kafli menetapkan prosiding membela diri didengar selama dua hari pada 13 dan 14 Mac ini.

Pada 12 Ogos 2022, suami isteri itu mengaku tidak bersalah menerima wang deposit berkenaan daripada seorang pengajar bidang IT berusia 49 tahun, secara berperingkat tanpa lesen sah antara 16 Disember 2015 dan 16 April 2016 di sebuah restoran di Sentul.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 137(1) 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 137(2) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak lebih 10 tahun atau denda tidak maksimum RM50 juta atau kedua-dua, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 January 2024 @ 4:03 PM