RESTORAN dikendalikan warga asing di diarah ditutup berikutan kotor dan berada dalam keadaan tidak memuaskan. FOTO ihsan MBIP
RESTORAN dikendalikan warga asing di diarah ditutup berikutan kotor dan berada dalam keadaan tidak memuaskan. FOTO ihsan MBIP
Mohamed Farid Noh


Iskandar Puteri: Dua restoran dikendalikan warga asing di Taman Nusa Perintis 1, Gelang Patah, di sini, diarah tutup selama 14 hari berikutan didapati kotor dan berada dalam keadaan tidak memuaskan.

Selain itu, tiga lelaki warga Nepal ditahan kerana menjual minuman keras disyaki diseludup dalam operasi bersepadu oleh sembilan agensi diketuai Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), kelmarin.

Ahli Majlis Gelang Patah MBIP, Mohd Faiz Abdullah berkata, pemeriksaan mendapati sebanyak 14 premis daripada 20 lot perniagaan diusahakan warga asing itu menjadi tumpuan golongan itu.

Menurutnya, pihaknya turut mendapati kesemua 20 lot perniagaan terbabit adalah milik warga tempatan.

"Dua restoran dikendalikan warga asing diarah ditutup selama 14 hari kerana kotor, manakala dua lagi restoran dikendalikan warga asing di situ turut menerima 11 kompaun.

"Ia kerana kakitangan warga asing tidak mematuhi peraturan ditetapkan termasuk tukang masak tidak memakai apron, penutup kepala serta mengenakan aksesori.

"Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) turut merampas 131 tin minuman keras pelbagai jenama disyaki diseludup dengan tiga warga Nepal ditahan untuk siasatan lanjut.

"Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pula mengeluarkan enam kompaun terhadap pengendali premis warga asing berikutan kesalahan tidak mempamerkan sijil Perakuan Pendaftaran Perniagaan di premis selain gagal mempamerkan papan tanda mengandungi nama dan nombor daftar perniagaan," katanya ketika dihubungi.

Pada 24 Disember lalu, kawasan Gelang Patah, di sini, dilaporkan ibarat ditawan warga asing apabila deretan kedai di kawasan itu terus dikuasai golongan itu sejak lebih tujuh tahun lalu.

Tinjauan di kawasan perniagaan berkenaan mendapati terdapat lebih 20 premis perniagaan atau kedai dikendalikan warga Bangladesh dan Pakistan secara terbuka.

Peniaga warga asing dilihat bermaharajalela dan beroperasi di deretan premis perniagaan walaupun kewujudan mereka pernah dilaporkan media beberapa kali.

Dalam pada itu, Mohd Faiz berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) turut merampas 12 produk kosmetik tidak berdaftar hasil pemeriksaan di lima premis di situ.

"Kesemua produk itu dirampas untuk siasatan lanjut mengikut Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 January 2024 @ 1:52 PM