Mohamad Sakroji (kanan) bersama anaknya, Siti Zalaika dari Giatmara Kota Raya ketika majlis graduasi Giatmara 2022 Selangor di Dewan Canselor Management and Sains Universiti (MSU). FOTO OWEE AH CHUN
Mohamad Sakroji (kanan) bersama anaknya, Siti Zalaika dari Giatmara Kota Raya ketika majlis graduasi Giatmara 2022 Selangor di Dewan Canselor Management and Sains Universiti (MSU). FOTO OWEE AH CHUN
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Tidak semua ibu bapa berpeluang melihat anak-anak belajar di depan mata, menghadiri kuliah bersama, melakukan latihan kemahiran dan mencipta kenangan meraikan hari graduasi bersama anak tersayang.

Namun, bagi Mohamad Sakroji Abbas, 61, dia amat terharu apabila berpeluang mengikuti kursus Sijil Videografi dan Kesan Visual di GiatMara Kota Raja, di sini, bersama anak perempuannya, Siti Zulaika, 20.

Mohamad Sakroji berkata, segalanya bermula ketika dia menghantar Siti Zulaika untuk memulakan kursus kemahiran berkenaan di pusat latihan itu pada 2019 lalu.

"Kebetulan, saya memang meminati bidang videografi... lalu saya terus bertanya kepada pihak GiatMara adakah usia seperti saya layak untuk mengikut kursus ini.

"Pihak GiatMara memberi jawapan yang menggembirakan apabila mengatakan saya layak, lalu saya mengambil keputusan untuk mendaftarkan diri dan belajar bersama anak.

"Saya bukan hanya menghantar dan mengambil anak pergi serta pulang dari kelas sebaliknya kami belajar bersama-sama sehingga tamat belajar dan bergraduasi hari ini. Alhamdulillah," katanya ketika ditemui selepas Majlis Graduasi GiatMara Selangor, di sini, hari ini.

Mohamad Sakroji yang juga seorang Youtuber berkata, kursus itu juga bertepatan dengan pekerjaan yang dilakukannya.

"Terima kasih kepada semua tenaga pengajar dan rakan sekelas yang banyak memberi tunjuk ajar kepada saya dan anak. Tambahan pula saya sudah berusia, susah 'pick up' ilmu yang diajar. Ilmu ini sangat berguna untuk kami," katanya.

Sementara itu, pasangan ibu dan anak pula, Azlina Pain, 46, serta Iman Aisya Muhammad Rizal, 22, menjadi rakan sekelas bagi kursus Sijil Jahitan Pakaian dan Fesyen di GiatMara Hulu Langat.

Menurutnya, dia mengikuti kursus berkenaan bersama anak tunggalnya kerana merancang untuk menjalankan perniagaan berkaitan bidang jahitan.

"Kebetulan pada 2019, saya berhenti kerja, jadi saya nampak GiatMara menyediakan kursus kemahiran ini selama enam bulan sahaja.

"Saya sangat bertuah dapat bersama dengan anak. Kami memang seronok dapat belajar sama-sama dari awal sehingga akhir, pergi kelas sama-sama dan segala aktiviti buat bersama," katanya.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif GiatMara Malaysia, Datuk Jabar Azman Jaafar dalam ucapannya berkata, seramai 834 graduan menerima sijil graduasi masing-masing, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Oktober 2022 @ 5:14 PM