Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib


Industri fesyen hari ini semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat hingga ramai mengambil peluang menjadikan industri ini sebagai lubuk rezeki berbekalkan kemahiran dalam bidang jahitan.

Bagaimanapun, kema­hiran dalam bidang ini seakan-akan tidak lengkap jika tidak dibekalkan ilmu dan pengetahuan keusahawanan yang mencukupi untuk melonjakkan potensi secara optimum.

Akademi Nicks Creation yang menawarkan pelbagai kursus kemahiran dalam bidang jahitan bukan hanya fokus membimbing pelajar untuk menguasai kemahiran jahitan, malah membentuk usahawan jahitan yang mampu menjana pendapatan dengan bimbingan keusahawanan.

Pengasasnya, Nik Nor Sharija Mohd Nor, 44, berkata, pelajar di akademi itu tidak dididik sekadar mahir menjahit sebaliknya mendapat faedah melalui rangkaian kedai usahawan jahitan di bawah program Usahawan Perintis di seluruh negara.

Tempoh pembelajaran Kursus Jahitan dan Rekaan Fesyen selama 12 bulan di akademi itu membolehkan pelajar mempelajari teknik menjahit 35 fesyen selain pengetahuan lengkap me­ngenai fabrik serta jahitan manik, labuci dan kristal.

“Pelajar juga didedahkan dengan kemahiran lain seperti perakaunan dan pemasaran bagi membolehkan mereka menguruskan kewangan dan memasarkan produk mengikut sistem yang betul,” kata ibu kepada enam anak berasal dari Pasir Mas, Kelantan ini.

Penubuhan akademi yang bertempat di Taman Puchong Utama itu bertitik tolak daripada pengalamannya dalam bidang jahitan sejak berpuluh tahun lalu sehingga berjaya mendapat­kan kontrak kerajaan untuk menjahit pakaian.

Namun, dek permintaan tinggi dan pada masa sama kekurangan tenaga pekerja untuk mennyiapkan tempahan mengikut kontrak, Nik Nor Sharija bertekad untuk melatih lebih ramai tukang jahit tempatan.

“Sejak dulu lagi saya tidak gemar menggaji pekerja asing untuk menjahit pakaian kerana bagi saya masih ramai rakyat tempatan yang boleh menjahit dengan baik sekirannya diberi peluang dan kemahiran apatah lagi dengan kadar pengangguran yang semakin meningkat.

“Pelajar saya yang sudah mahir diberi peluang menjahit baju kontrak secara sambilan dan mereka berpeluang meraih pendapatan sampingan walaupun ketika mengikuti kursus di akademi ini selain peluang menjadi tenaga pengajar di cawa­ngan akademi,” katanya.

Beliau yang juga Mentor Kelab Usahawan Selangor berkata, di akademi itu pelajar yang mengikuti kursus berkenaan terdiri daripada semua peringkat umur dan latar belakang, malah turut mendapat tempat dalam kalangan profesional seperti doktor, peguam dan guru.

Pembelajaran pula tidak hanya terikat pada kemahiran jahitan semata-mata, sebaliknya beliau cuba menyuntik variasi dalam bidang berkenaan termasuk menghasilkan aksesori menggunakan bara­ngan terpakai serta latihan praktikal untuk memasarkan produk yang dihasil­kan.

Dalam kursus itu juga, dia menekankan kepada pelajarnya supaya tidak membuat pinjaman untuk memulakan perniagaan sebaliknya bermula dari bawah bagi meminimumkan risiko sekiranya mereka tidak berjaya mencapai sasaran dikehendaki.

Mengorak langkah ke ­depan, akademi itu dalam proses menjalinkan kerjasama dengan institusi pe­ngajian tinggi untuk mendedahkan pelajar mengenai kedua-dua cabang kemahiran berkenaan.

Bagi pelajar Akademi Nicks Creation Amira Natasha Azhar, 24, minat yang mendalam dalam bidang rekaan fesyen mendorong­nya untuk mengikuti kursus berkenaan dan mencapai cita-citanya untuk membuka butik pakaian sendiri suatu hari nanti.

“Ketika usia muda inilah saya berasa perlu merebut peluang seumpama ini apatah lagi kursus yang ditawarkan menepati kehendak dan cita rasa saya kerana pembelajaran serba lengkap untuk melahirkan usahawan dalam bidang ini.

“Lagipun, ilmu dan pe­ngetahuan daripada guru yang berpengalaman luas dalam bidang ini memungkinkan saya mendapat pendedahan yang tidak semua dapat merasainya,” katanya.

Bagi pelajar, Mohd Azuwan Mohd Arifin, 35, matlamatnya untuk menceburi industri ini begitu kuat sehingga sanggup berhenti kerja dan mengikuti kursus ini awal tahun lalu kerana menyedari peluang cerah bakal diraihnya dalam bidang ini.

Memasang impian untuk mempunyai label pakaian sendiri suatu hari nanti, anak jati Terengganu itu kini boleh menarik nafas lega kerana bakal tamat kursus di akademi itu tidak lama lagi.

“Keunikan kursus ini apabila pelajar diterapkan dengan nilai keusahawanan di samping kemahiran jahitan. Ilmu yang lengkap ini memudahkan pelajar berdepan dengan cabaran dalam perniagaan seterusnya melahirkan usahawan yang berjaya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 January 2015 @ 5:23 AM