ANTHONY (tiga kanan) menunjukkan replika e-LKM serta e-LMM pada sidang media di Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Selangor. FOTO Faiz Anuar
ANTHONY (tiga kanan) menunjukkan replika e-LKM serta e-LMM pada sidang media di Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Selangor. FOTO Faiz Anuar
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Orang ramai boleh membuat pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LLM) melalui aplikasi MyJPJ bermula Februari ini.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, pertambahan fungsi baharu berkenaan akan memudahkan orang awam untuk memperbaharui LKM dan LMM secara digital selain menjimatkan masa, kos serta dapat mengurangkan kesesakan urus niaga secara fizikal di kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

"Pelaksanaan urus niaga pembaharuan LKM melalui aplikasi ini akan dilaksanakan secara berfasa yang mana pada peringkat permulaan, ia hanya membabitkan kenderaan persendirian individu (warganegara).

"Untuk menggalakkan penggunaan e-LMM, individu yang memilih Lesen Memandu Malaysia Digital (e-LMM) semasa pembaharuan akan menikmati rebat RM5 yang mana rebat ini akan dinikmati sepanjang 2024 iaitu bermula 1 Februari sehingga 31 Disember," katanya pada sidang media selepas mengadakan sesi lawatan ke JPJ Selangor di sini, hari ini.

Beliau berkata, inisiatif itu terpakai untuk mereka yang memilih e-LMM semasa pembaharuan sama ada melalui kaunter JPJ, portal mySIKAP, aplikasi MyJPJ atau rakan niaga JPJ (Pejabat Pos Malaysia dan MyEG Services Berhad).

Katanya, inisiatif itu hanya untuk warganegara Malaysia sahaja dan tidak terpakai kepada warganegara asing atau mana-mana pemegang pas, permit jangka masa panjang, Kad Pengenalan Pemastautin Sementara (MyKAS) serta Kad Pengenalan Pemastautin Tetap (MyPR).

Dalam pada itu, Anthony berkata, berdasarkan dapatan kajian dan analisa statistik sepanjang 2023, JPJ mendapati bilangan pemandu dan pemilik yang memilih digitalisasi semakin meningkat dengan 7.5 juta pengguna.

Bagaimanapun, bagi pemandu dan pemilik kenderaan yang masih belum bersedia sepanjang tempoh interim pendigitalan tahun 2024, mereka masih boleh memilih LKM dan LMM fizikal.

"Bagi tujuan penyesuaian dalam tempoh interim, JPJ Malaysia akan mengeluarkan LKM dan LMM fizikal berbentuk baharu dan diseragamkan dalam bentuk kertas keselamatan.

"Ia akan terus dilaksanakan selepas stok LKM dan LMM fizikal yang lama di cawangan-cawangan atau kiosk JPJ habis.

"LKM yang baharu ini tidak perlu dilekatkan atau dipamerkan pada cermin kenderaan seperti keperluan Seksyen 20(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 sebelum ini, sebaliknya ia disimpan mengikut kesesuaian orang awam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 January 2024 @ 11:48 AM