Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil dan Suharmin Yusuf

Kuala Lumpur: Suka berjudi secara terbuka, berpesta dan melakukan maksiat itu antara kelakuan biadab segelintir pendatang asing tanpa izin (Pati) di Apartment Abdullah Hukum, di sini, yang menimbulkan rasa kurang senang warga tempatan.

Pengerusi Persatuan Penduduk, Mohd Rosdi Mohamad Noor berkata, sebagai anak jati kawasan itu, dia menyokong tindakan serbuan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berikutan banyak aduan yang diterima pihaknya.

"Apabila kita tegur, warga asing ini mereka berani melawan, mereka kerap bermain judi di tempat terbuka, malah dalam jumlah yang banyak pula.

"Ada antara mereka yang mengadakan pesta dan membuat bising serta apabila mabuk mereka baling botol ke bawah sehingga mengenai kereta penduduk lain, mereka tidak peduli pun," katanya kepada Harian Metro ketika ditemui di sini, hari ini.

Mohd Rosdi, 61, berkata dia yang sudah menetap hampir dua dekad di aparmen itu berasa kurang selesa apabila kawasan di mana dirinya membesar kini dibanjiri warga asing sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Anak jati Kampung Abdullah Hukum itu memberitahu, ada juga segelintir warga asing terbabit yang bukan sahaja berkelakuan biadab, malah berani melawan apabila ditegur oleh penduduk tempatan.

"Saya lahir di sini, memang anak kampung sini (Abdullah Hukum) tidak mungkin saya biarkan sahaja kampung saya macam ini?

"Masalah ini berpunca dari pemilik rumah (warga tempatan) sendiri kerana menyewakan kepada Pati, tetapi apabila kami tegur kami pula kena marah," katanya.

SERAMAI 65 warga asing yang bekerja serta tinggal tanpa sebarang pas atau permit yang sah ditahan dalam operasi bersepadu dua hari di sekitar Johor. FOTO Ihsan JIM
SERAMAI 65 warga asing yang bekerja serta tinggal tanpa sebarang pas atau permit yang sah ditahan dalam operasi bersepadu dua hari di sekitar Johor. FOTO Ihsan JIM

Menurutnya, pemilik rumah terbabit tidak memikirkan berkenaan nasib penduduk warga tempatan yang masih menetap di kawasan itu dan terpaksa menghadapi perangai biadab warga asing.

"Dia (warga asing) buka kedai runcit sendiri, itulah masalah penduduk di sini jugalah yang bagi warga asing ini menyewa kedai.

"Ada juga aduan warga asing ini bergaduh dan mengganggu orang tempatan di sini," katanya.

Tinjauan Harian Metro di beberapa unit rumah diduduki warga asing terbabit mendapati keadaan premis berbau busuk dan berada dalam keadaan bersepah.

Penyewa, Muhammad Abdul Rathle, 24, mengaku sudah menyewa hampir empat tahun di apartmen terbabit bersama 12 warga asing lain di kediaman tiga bilik itu.

Katanya, dia dan rakan serumahnya bekerja sebagai pekerja pembersihan, pekerja kedai makan, dan pembantu kedai di pusat beli-belah berhampiran.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan segelintir Pati sanggup menempah maut apabila cuba terjun dari tingkat 10 ketika cuba melepas diri dalam operasi JIM di Aparment Abdullah Hukum di sini, awal pagi tadi.

Kira-kira 1,000 individu diperiksa dan seramai 567 Pati ditahan dalam operasi penguatkuasaan JIM Kuala Lumpur susulan aduan awam di pangsapuri itu, awal pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Disember 2023 @ 8:34 AM