Penduduk Orang Asli suku kaum Mandrik dan Bateq di Pos Lebir, menggunakan perahu untuk keluar dari penempatan mereka. FOTO Paya Linda Yahya
Penduduk Orang Asli suku kaum Mandrik dan Bateq di Pos Lebir, menggunakan perahu untuk keluar dari penempatan mereka. FOTO Paya Linda Yahya
Paya Linda Yahya


Gua Musang: Kira-kira 500 penduduk Orang Asli Suku Kaum Mendriq dan Bateq di Kampung Pasir Linggi, Pos Lebir di sini masih tidak dapat keluar dari penempatan mereka apabila air Sungai Linggi yang melimpahi jambatan ke perkampungan itu masih belum surut.

Walaupun banjir di beberapa kawasan sudah surut di daerah ini dan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sudah ditutup sepenuhnya sejak semalam, namun penduduk

Kampung Pasir Linggi masih terkandas.

Penghulu Kampung Pasir Linggi, Harun Ismail berkata, rutin harian penduduk terganggu apabila mereka tidak dapat keluar ke bandar Kuala Krai dan Gua Musang.

Katanya, bagaimanapun pihaknya bernasib baik apabila Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menghantar bantuan bakul makanan buat 110 keluarga di di Kampung Pasir Linggi dan Kampung Machang di Pos Lebir.

"Hujan sejak 23 Disember lalu sehingga sekarang. Air banjir masih melimpah di Jambatan Sungai Linggi sehingga menyebabkan kami terpaksa menggunakan bot untuk keluar sekiranya ada urusan penting.

"Alhamdulillah hujan sudah semakin reda, namun walau apa pun kami sentiasa berjaga-jaga dan sentiasa bersiap sedia untuk berpindah sekiranya berlaku banjir di perkampungan kami," katanya ketika ditemui, di sini.

Manakala menurut Mohd Alang Sakarwi, 45, setakat ini penduduk masih terkurung apabila tidak dapat keluar dari kampung kerana air banjir masih melimpah di Jambatan Sungai Linggi.

Katanya, air di dua sungai iaitu Sungai Kelkok dan Sungai Jerek sudah surut sepenuhnya namun air Sungai Linggi masih melimpahi jambatan.

"Kami bersyukur kerana masih belum terputus bekalan apabila menerima bantuan makanan dari pihak Nadma dan JAKOA.

"Kami berterima kasih kepada JAKOA yang menyumbang lebih 100 bakul makanan kepada penduduk yang terperangkap di kampung ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Disember 2023 @ 12:47 PM