Siti Aminah Mohd Yusof


Bayan Lepas: Kementerian Sumber Manusia memandang serius isu pekerja asing ditinggalkan dalam keadaan tidak menentu tanpa pekerjaan selepas tiba di negara ini.

Menterinya, V Sivakumar berkata, majikan tidak boleh membawa pekerja asing sewenang-wenangnya masuk ke negara ini jika tiada pekerjaan seperti dijanjikan.

"Kementerian sangat prihatin mengenai perkara ini dan saya beri arahan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) untuk memastikan pekerja yang dibawa masuk ke negara ini sememangnya mempunyai pekerjaan.

"Tindakan sudah diambil dan kita akan pastikan pada masa hadapan perkara seperti ini tidak berulang lagi," katanya ringkas ketika ditemui pada Persidangan dan Pameran Modal Insan Kebangsaan (NHCCE) 2023 di sini, hari ini.

V Sivakumar ketika hadir pada ‘National Human Capital Conference and Exhibition’ (NHCCE) 2023 Wilayah Utara di Pusat Konvensyen Setia SPICE Bayan Lepas. FOTO DANIAL SAAD
V Sivakumar ketika hadir pada ‘National Human Capital Conference and Exhibition’ (NHCCE) 2023 Wilayah Utara di Pusat Konvensyen Setia SPICE Bayan Lepas. FOTO DANIAL SAAD

Beliau mengulas isu ratusan pekerja asing yang mendakwa membayar levi untuk bekerja di Malaysia namun tiada pekerjaan ditawarkan apabila tiba di negara ini.

Awal bulan ini beberapa portal berita termasuk agensi luar negara melaporkan beratus-ratus pendatang asing kebanyakannya dari Bangladesh dan Nepal ditinggalkan dalam keadaan tidak menentu selepas membayar ribuan ringgit kepada ejen.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Jun 2023 @ 2:45 PM