DARI kiri, Mas Imran, Dr Mohd Zin, Dr Kamal Nasharuddin, Kamarul Zaman memeriksa barang-barang keperluan untuk dihantar kepada rakyat Gaza yang dibungkus di Gudang Medical Worldwide, Kaherah, Mesir.
DARI kiri, Mas Imran, Dr Mohd Zin, Dr Kamal Nasharuddin, Kamarul Zaman memeriksa barang-barang keperluan untuk dihantar kepada rakyat Gaza yang dibungkus di Gudang Medical Worldwide, Kaherah, Mesir.
Othman Mamat

Kaherah (Mesir): Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCare) bersama pasar raya Econsave Cash & Carry Sdn Bhd sedang merangka pelan pembangunan jangka panjang bagi membangunkan semula Semenanjung Gaza yang musnah dibom rejim Zionis menerusi program Bina Semula Gaza (BSG).

Program bertujuan menggerakkan kempen besar-besaran bagi mengutip dana daripada rakyat Malaysia, termasuk badan-badan korporat.

Pengerusi MyCARE, Datuk Seri Ir Dr Kamal Nasharuddin Mustapha berkata, kempen BSG akan menyuntik kesedaran kepada rakyat Malaysia untuk menyumbang dana bagi membolehkan usaha memulih dan membangunkan semula kemudahan serta infrastruktur asas di Gaza dapat dilakukan segera.

Menurutnya, setakat ini RM11 juta sudah dikutip menerusi Tabung Kecemasan Palestin yang dilancarkan pada 7 Oktober lalu di Johor Bahru dan daripada jumlah itu, RM5.3 juta sudah disalurkan ke Gaza dalam bentuk bantuan makanan, keperluan asas dan perubatan.

"Keutamaan penduduk Gaza pada masa ini adalah kemudahan asas seperti makanan, air bersih, tempat tinggal seperti khemah dan perubatan. Mereka kehilangan tempat tinggal selepas rumah mereka dibom rejim Zionis.

"Ketika ini mereka tinggal di celah bangunan dan dalam bangunan kosong malah ada yang tinggal semula dalam rumah mereka yang sudah runtuh akibat dibom kerana tiada tempat tinggal dalam keadaan tiada bekalan elektrik atau air.

"Mereka kini berdepan musim sejuk dan amat memerlukan khemah. Ketika ini terdapat 1.8 juta penduduk Palestin yang hilang tempat tinggal sejak konflik tercetus," katanya selepas meninjau persiapan penghantaran bantuan MyCARE dan Econsave ke Palestin di Gudang Medical Worldwide, Badr City, New Cairo, di sini pada Ahad.

Turut hadir, Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Dr Mohd Zin Kandar; Ketua Pegawai Eksekutif MyCARE, Kamarul Zaman Shaharul Anwar; Pengurus MyCARE Johor, Rozi Abdul Ghani dan Pengurus Besar Pasar Raya Econsave, Mas Imran Adam.

MyCARE dan Econsave kini dalam Misi Kemanusiaan Musim Sejuk MyCARE-Econsave yang bermula dari 18 sehingga 31 Disember ini di Syria, Yaman dan Mesir.

Dr Kamal Nasharuddin berkata, MyCARE dan Econsave sedang dalam proses membeli 500 khemah dengan kos RM1.2 juta berikutan keperluan mendesak untuk dijadikan tempat tinggal penduduk Gaza pada musim sejuk sekarang.

Menurutnya, keutamaan itu perlu diberikan perhatian terlebih dulu sebelum merancang membina kemudahan asas antaranya masjid, sekolah dan hospital secara berperingkat.

Sementara itu, Kamarul Zaman berkata, MyCARE dan Econsave sudah membeli dua unit ambulans baharu bernilai RM400,000 dengan kelengkapan perubatan dan rawatan terkini untuk digunakan di Gaza.

Selain itu beliau berkata, klinik bergerak yang beroperasi sejak tahun lalu masih lagi digunakan di Gaza dan pihaknya bercadang menambah lebih banyak lagi kemudahan berkenaan.

Sementara itu, Mas Imran berkata, pihak Econsave menyumbang RM100,000 dalam bentuk bekalan air bersih untuk diminum dan barang keperluan asas menerusi Op Ehsan ke sempadan Rafah, Mesir sebelum dibawa masuk wakil MyCARE ke Gaza.

Menurutnya, daripada jumlah itu sebanyak RM50,000 adalah dalam bentuk minuman mineral dalam botol manakala RM50,000 lagi barang makanan kering selain selimut bayi dan lampin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Disember 2023 @ 1:11 PM