MANCHA menunjukkan gambar barang rampasan dan suspek yang ditahan dalam sidang media berhubung tangkapan Geng Bezza Eein, hari ini. FOTO Nadim Bokhari
MANCHA menunjukkan gambar barang rampasan dan suspek yang ditahan dalam sidang media berhubung tangkapan Geng Bezza Eein, hari ini. FOTO Nadim Bokhari
Mohd Roji Kawi


Kuching : Kumpulan penjenayah yang aktif melakukan samun terhadap kedai menjual peralatan komunikasi, beberapa kali menukar warna kereta yang mereka gunakan bagi mengaburi pihak berkuasa.

Taktik itu dikesan dengan tertangkapnya enam penjenayah termasuk seorang wanita yang dikenali sebagai 'Geng Bezza Eein' pada 14 Disember lalu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata, siasatan mendapati kumpulan terbabit sudah menukar warna kereta Perodua Bezza yang mereka gunakan itu sekurang-kurangnya tiga kali sejak aktif melakukan jenayah, Mac lalu.

Menurutnya, hasil siasatan warna asal kereta itu ialah putih, namun ketika ditahan warnanya ditukar kepada biru dan siasatan mendapati kereta sama juga pernah dicat warna merah.

"Kereta itu milik salah seorang ahli geng itu dan selain menukar warna kereta, mereka juga menggunakan nombor pendaftaran palsu.

"Kumpulan itu dikenal pasti terbabit dalam 27 kes pecah kedai peralatan telekomunikasi serta curi motosikal di sekitar Kuching, Padawan, Kota Samarahan, Bau dan Sri Aman," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini, hari ini.

Turut hadir timbalannya Datuk Ibrahim Darus dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak, Senior Asisten Komisioner Wong Ing Fung.

Mancha berkata, hasil siasatan yang dijalankan, semua suspek berusia antara 18 hingga 36 tahun itu ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Matang pada 3.15 petang, 14 Disember lalu.

Menurutnya, hasil pemeriksaan polis merampas sebuah motosikal disyaki hasil curi, sebuah kereta Perodua Kancil dan Perodua Bezza.

"Antara barangan disyaki hasil curi yang dirampas pula ialah komputer riba, telefon bimbit serta kabel.

"Selain itu, turut dirampas beberapa peralatan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan pecah kedai," katanya.

Mancha berkata, modus operandi kumpulan itu ialah melakukan jenayah itu pada waktu awal pagi dengan mensasarkan kedai menjual peralatan telekomunikasi.

"Mereka menggunakan 'cutter' untuk memotong mangga kunci pintu kedai atau menarik 'roller shutter' dengan menggunakan kabel yang dipasang pada bahagian hadapan atau belakang kereta," katanya.

Menurutnya, semua suspek direman selama tujuh hari sejak 15 Disember lalu hingga esok bagi melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

"Siasatan juga mendapati semua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah narkotik dengan dua daripadanya pernah menjalani hukuman penjara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2023 @ 5:12 PM