Pesawah, Shamsuddin Abdul Rani di kawasan sawah Kampung Langgar yang ditenggelami banjir sedalam kira-kira satu meter selepas hujan selama seminggu. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Pesawah, Shamsuddin Abdul Rani di kawasan sawah Kampung Langgar yang ditenggelami banjir sedalam kira-kira satu meter selepas hujan selama seminggu. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


Pekan: Empat puluh pesawah Kampung Langgar dekat Pahang Tua di sini, mengalami kerugian dianggarkan kira-kira RM500,000, selepas tanaman padi mereka ditenggelami banjir.

Lebih menyedihkan, kawasan sawah Kumpulan Pengguna Air (KPA) Mawar Langgar berkeluasan lebih 80 hektar itu sudah matang dan sedia untuk dituai dalam masa dua hingga tiga minggu lagi.

Salah seorang pesawah, Shamsuddin Abdul Rani, 58, berkata, paras air di kawasan sawah kini setinggi kira-kira satu meter selepas hujan berterusan selama seminggu.

Dia berkata, hujan lebat selama dua hari sejak Jumaat lalu menyebabkan paras air terus meningkat hingga hampir keseluruhan kawasan sawah kini ditenggelami air.

"Air berlebihan di kawasan sawah Kampung Langgar sepatutnya keluar ke Sungai Pahang, namun disebabkan faktor saliran dan bentuk muka bumi tempat terbabit, paras air kini meningkat apabila hujan berlebihan," katanya, di sini semalam.

Seorang lagi pesawah, Mohd Fadhil Mohd Sallehuddin, 34, berkata, mereka kerugian besar apabila hasil padi tidak dapat dituai.

Katanya, modal dikeluarkan untuk setiap petak sawah antara RM1,500 hingga RM1,800 semusim, dan ia digunakan untuk membeli benih, baja, racun dan upah membajak.

"Saya mengusahakan sawah seluas 8.9 hektar di Kampung Langgar dan Pahang Tua. Ini kali kedua sawah saya ditenggelami banjir berikutan hujan secara berterusan," katanya.

Wan Mohd Nazari Wan Lambak, 58, yang mengusahakan sawah seluas 5.7 hektar berkata, padi pada pokok akan rosak selepas hanya tiga hari terendam dalam air.

"Saya tak sanggup melihat kawasan sawah ditenggelami banjir, sedang kami pesawah menunggu untuk menuai padi. Dalam sekelip mata, impian meraih pendapatan hasil jualan padi kini musnah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2023 @ 8:08 AM