USTAZA yang berdepan pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap lima pelajar lelaki  dibawa ke Mahkamah Sesyen Butterworth, hari ini. FOTO Nur Izzati Mohamad
USTAZA yang berdepan pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap lima pelajar lelaki dibawa ke Mahkamah Sesyen Butterworth, hari ini. FOTO Nur Izzati Mohamad
Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Ustaz didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap lima pelajar lelaki di sebuah pusat pengajian tahfiz, antara September 2022 hingga Jun lalu.

Bagaimanapun tertuduh yang berusia 29 tahun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas lima kertas pertuduhan dibacakan berasingan terhadapnya di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual terhadap seorang pelajar lelaki yang ketika itu berusia 13 tahun.

Kesalahan berkenaan didakwa dilakukan di sebuah rumah sewa di Tasek Gelugor pada jam 3 pagi, Jun lalu.

Sementara pertuduhan kedua hingga kelima pula, tertuduh yang sudah berumahtangga didakwa melakukan perkara sama terhadap empat lagi pelajar lelaki yang ketika itu berusia 14 tahun.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di asrama tingkat bawah pusat tahfiz di Padang Menora, Tasek Gelugor antara Januari hingga September 2022 di.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan, jika sabit kesalahan

Bagi hukuman bagi Seksyen 16 akta berkenaan tertuduh boleh dipenjara lima tahun dan boleh dikenakan sebatan tidak kurang dua kali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Imran Farouk.

Semasa prosiding, pihak pendakwaan memohon mahkamah tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh, namun dalam rayuan Mohd Imran meminta mahkamah memberikan ikat jamin atas alasan anak guamnya perlu menyara keluarga.

Zulhazmi kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin keseluruhan RM20,000 bagi kesemua pertuduhan dihadapinya, selain dikenakan syarat tambahan dengan tidak boleh mendekati atau mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Kes akan disebut semula pada 17 Januari depan untuk serahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2023 @ 4:23 PM