Ahli keluarga sedang menunggu kenderaan pihak berwajib untuk membawa pulang mayat dua wanita Orang Asli untuk dikebumikan di perkampungan pedalaman Ulu Jelai di perkarangan bilik Forensik Hospital Lipis , Lipis hari ini. FOTO Amir hamzah Nordin.
Ahli keluarga sedang menunggu kenderaan pihak berwajib untuk membawa pulang mayat dua wanita Orang Asli untuk dikebumikan di perkampungan pedalaman Ulu Jelai di perkarangan bilik Forensik Hospital Lipis , Lipis hari ini. FOTO Amir hamzah Nordin.
Amir Hamzah Nordin

Lipis: Dua mayat wanita Orang Asli Kampung Lenjang dan Kampung Sinderut di pedalaman Ulu Jelai gagal dihantar pulang untuk disemadikan oleh ahli keluarga masing- masing berikutan tiada kenderaan pihak berwajib.

Suami kepada mendiang Erra Fazira Hamzah, Amri Bah Jong berkata, tempat kediamannya di Kampung Sinderut yang terletak kira-kira 170 kilometer dari sini, tidak dapat dihantar ke kampungnya untuk disemadikan kerana tiada kenderaan untuk menghantar mayat isterinya.

"Saya sudah tiga hari di sini, menunggu isteri sakit sebelum dia meninggal dunia awal pagi ini sehingga tiada wang lagi untuk digunakan bagi membayar sewa kenderaan.

"Mayat isteri saya sudah dibenarkan untuk dibawa pulang oleh pihak hospital tetapi tiada kenderaan pula untuk membawanya balik kerana tiada kenderaan untuk ke Kampung Sinderut, " katanya ketika ditemui di Hospital Lipis di sini, hari ini.

Menurutnya, dia cuba menghubungi pihak berkaitan tetapi gagal untuk mendapatkan bantuan kenderaan menghantar mayat isterinya.

"Saya dimaklumkan, ketiadaan kenderaan pihak berkaitan untuk menghantar mayat pulang ke kampung kerana difahamkan kenderaan milik sebuah agensi kerajaan yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal Orang Asli di sini rosak," katanya.

Orang Asli dari Kampung Lenjang, Rosnan Bah Ding, 44, turut mengalami nasib yang sama kerana tiada ada bantuan kenderaan pihak berkaitan untuk membawa balik mayat isterinya, Wak Sai Bah Ema, 48, pulang ke kampung halamannya kira-kira 86 kilometer atau kira-kira lima jam perjalanan dari bandar Kuala Lipis.

"Isteri saya mendapat rawatan selepas dipercayai jangkitan Covid-19 dan disahkan meninggal dunia selepas dua hari lalu dan mayat dibenarkan dibawa pulang tetapi masalahnya saya tidak mempunyai kenderaan.

"Tidak ada kenderaan lain yang sanggup menghantar mayat ini pulang ke kampung melainkan kenderaan milik agensi kerajaan berkenaan, saya memohon bantuan pihak lain selepas menghubungi pihak berwajib tetapi tidak menjawab panggilan," katanya.

Menurutnya, sewajarnya pihak berwajib lebih peka dengan kebajikan Orang Asli terutamanya membabitkan kematian khususnya keselesaan membawa mayat balik ke kampung untuk disemadikan.

"Saya sudah tiada wang lagi untuk menyewa kenderaan lain kerana sudah kehabisan wang sejak menunggu mendiang isteri yang dirawat sebelum ini sehingga meninggal dunia dan berasa tertekan dengan masalah ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Disember 2023 @ 3:54 PM