GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Tiga perkampungan Orang Asli di Pahang dilanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 10 hingga 23 Oktober ini.

Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Rodzi Md Saad berkata, lokaliti itu sebelum ini dikenakan PKPD dan dijangka tamat pada 10 Oktober ini.

"Namun, selepas meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung situasi di kawasan berkenaan, MKN memutuskan untuk melanjut PKPD.

"Lokaliti yang dilanjutkan PKPD ialah Pos Sinderut; Pos Lenjang dan Pos Titom Mukim Ulu Jelai, Kuala Lipis," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, MKN juga memutuskan menamatkan PKPD di enam lokaliti di Sabah dan Pahang bermula 9 Oktober (esok) seperti yang dijadualkan.

"Lokaliti yang ditamatkan PKPD ialah di Kampung Tinongian dan Kampung Karagasan di Ranau serta Base Camp Bornion Tinber Sdn Bhd di Keningau.

"Selain itu, dua perkampungan Orang Asli di Kuala Kurau, Pahang iaitu Kampung Pasu dan Kampung Penderas serta Rumah Pangsa Jalan Karak, Mentakab turutt ditamatkan PKPD seperti dijadualkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Oktober 2021 @ 8:13 PM